MKH Oil Palm rancang beli tanah perladangan baharu bagi tujuan pengembangan | DagangNews Skip to main content

MKH Oil Palm rancang beli tanah perladangan baharu bagi tujuan pengembangan

Tan Sri Alex Chen Kooi Chiew - Gambar The Edge
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Dis - Syarikat perladangan kelapa sawit huluan MKH Oil Palm (East Kalimantan) Bhd (MKHOP) sedang menjalankan rundingan dan usaha wajar untuk memperoleh tanah perladangan baharu sebagai sebahagian daripada rancangan perkembangannya.

 

Pengerusi MKHOP, Tan Sri Alex Chen Kooi Chiew berkata, 100% pokok kelapa sawit syarikat itu, kini pada usia pengeluaran.

 

“Bagi simpanan tanah kita sekarang, daripada 18,205 hektar yang kita ada, lebih 17,000 hektar telah digunakan untuk penanaman manakala selebihnya digunakan untuk kilang minyak sawit mentah (MSM), pejabat, kuarters kakitangan, jalan raya dan lain-lain,” katanya.

 

Alex berkata, syarikat itu kini sedang berunding dengan beberapa pemilik tanah Indonesia untuk membeli tanah di Kalimantan Timur, berhampiran simpanan tanah semasanya dan akan membuat pengumuman mengenai perkara ini dalam masa terdekat.

 

Sekiranya sebarang pengambilalihan berlaku, syarikat itu akan menggunakan dana yang dijana secara dalaman serta hasil daripada pelaksanaan tawaran awam permulaannya untuk membiayainya.

 

Syarikat itu, yang merupakan unit milik penuh pemaju hartanah MKH Bhd melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM21 juta atau 2.73 sen sesaham serta pendapatan RM90.6 juta bagi suku keempat berakhir 30 September 2024.

 

Ia juga mengisytiharkan dividen interim sebanyak dua sen sesaham yang akan mula dibayar pada 30 Disember 2024.

 

Alex yang merupakan ahli perniagaan berpengalaman, berkata, dua penentu utama perniagaan adalah harga dan kos minyak sawit (MSM).

 

Beliau berkata, syarikat itu mempunyai polisi dividen 50%, di mana ia akan membayar sekurang-kurangnya 50% daripada keuntungan bersihnya sebagai dividen kepada pemegang sahamnya setiap tahun.

 

Selain itu, beliau menjangkan prospek tahun kewangan berakhir 30 September 2025 kekal disokong baik oleh permintaan MSM kukuh yang kini didagangkan pada sekitar RM4,300 setan di Indonesia.

 

Saham syarikat itu didagangkan pada 70 sen setiap satu iaitu 13% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaannya sebanyak 62 sen, memberikannya modal pasaran lebih RM720 juta. - DagangNews.com