Pasaran hartanah kediaman Malaysia kekal kukuh dengan nilai transaksi hampir RM29 bilion | DagangNews Skip to main content

Pasaran hartanah kediaman Malaysia kekal kukuh dengan nilai transaksi hampir RM29 bilion

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Dis - Pasaran hartanah kediaman negara mencatatkan 70,520 transaksi pada suku ketiga 2024 (3Q 2024) dengan nilai hampir RM29 bilion, jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun, meningkat 2.9 peratus dari segi jumlah dan 1.3 peratus dari segi nilai transaksi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

 

Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Abdul Razak Yusak berkata, sub-sektor kediaman terus menguasai aktiviti pasaran, menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah transaksi hartanah di negara ini.

 

Secara keseluruhan, prestasi pasaran hartanah Malaysia pada 3Q 2024 kekal kukuh, dengan jumlah dan nilai transaksi masing-masing meningkat kepada 112,305 dan bernilai RM57.31 bilion. 

 

Peningkatan marginal sebanyak 3.1 peratus dalam jumlah transaksi juga diimbangi dengan sedikit kenaikan sebanyak 0.3 peratus dalam nilai transaksi berbanding tempoh yang sama pada 2023.

 

"Prestasi kukuh pasaran hartanah ini disokong oleh pertumbuhan positif dalam jumlah transaksi hartanah di semua sub-sektor, yang menggalakkan pertumbuhan dalam aktiviti pembinaan dan penurunan berterusan dalam unit kediaman siap yang belum terjual (overhang) sejak suku pertama 2024," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sub-sektor kediaman dalam julat harga RM300,000 dan ke bawah, menguasai aktiviti pasaran hartanah negara dengan mencatatkan 53.4 peratus (37,689 transaksi), diikuti oleh rumah dalam julat harga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 23.8 peratus (16,790 transaksi) dan RM500,001 ke atas sebanyak 22.8 peratus (16,041 transaksi).

 

Abdul Razak berkata, Selangor merekod jumlah dan nilai transaksi tertinggi, menyumbang sebanyak 21.1 peratus daripada jumlah keseluruhan bersamaan 14,902 transaksi dan 29.2 peratus daripada nilai sebanyak RM8.40 bilion.

 

Johor menduduki tempat kedua tertinggi dengan 17.9 peratus dalam jumlah transaksi (12,616 transaksi) dan 20.2 peratus dalam nilai transaksi (RM5.81 bilion).

 

Dari segi jenis hartanah, permintaan kekal tertumpu kepada rumah teres yang menguasai hampir 42 peratus daripada transaksi hartanah kediaman negara.

 

"Usaha berterusan kerajaan dan sokongan seperti melonggarkan syarat permohonan untuk program Malaysia My Second Home (MM2H) dan pengecualian duti setem ke atas dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama, telah menjadi pemangkin kepada pasaran hartanah yang lebih kukuh," ujarnya.

 

Sementara itu, prestasi unit kediaman siap yang belum terjual (overhang) juga menunjukkan momentum yang lebih baik. 

 

Unit kediaman siap yang belum terjual mencatatkan penurunan marginal sebanyak 3.0 peratus dan 2.8 peratus dari segi jumlah dan nilai, masing-masing, kepada 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2Q 2024.

 

Bagi segmen aktiviti pembinaan, hartanah kediaman menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila jumlah projek yang siap, baru bermula dan di peringkat perbincangan menunjukkan pertumbuhan positif, masing-masing meningkat 4.6 peratus, 27.6 peratus dan 37.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, situasi berbeza dalam segmen pelancaran baharu, dengan sedikit penurunan pada 3Q 2024.

 

Pelancaran kediaman baharu mencatatkan 13,708 unit, berbanding 18,974 unit yang direkodkan pada 2Q 2024, dengan 42.6 peratus daripadanya adalah rumah yang berharga antara RM500,001 dan RM1 juta. - DagangNews.com