AIAC tolak permohonan injuksi Cahya Mata Sarawak terhadap Sesco Berhad | DagangNews Skip to main content

AIAC tolak permohonan injuksi Cahya Mata Sarawak terhadap Sesco Berhad

KUALA LUMPUR 11 Mei - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) memaklumkan bahawa Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) telah menolak permohonan anak syarikatnya Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd (CMPI) untuk injunksi sementara bagi menghalang Sesco Bhd daripada melaksanakan tindakan tertentu yang berkaitan dengan pertikaian kedua-dua pihak.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Cahya Mata Sarawak berkata CMPI telah memulakan timbang tara kecemasan dengan Pengarah AIAC terhadap Sesco.

 

CMPI dan Sesco mempunyai pertikaian di bawah perjanjian pembelian kuasa bertarikh 15 Jan 2019, berkaitan penjualan dan pembelian kuasa elektrik untuk kemudahan pengeluaran fosfat yang terletak di Sarawak.

 

“Pada 9 Mei 2023, penimbang tara kecemasan telah menolak permohonan CMPI untuk injunksi interim.

 

''Bagaimanapun, pengurusan tertinggi Cahya Mata kini sedang mendapatkan nasihat daripada peguam untuk meneroka tindakan selanjutnya bagi memelihara dan menguatkuasakan semua haknya,” kata syarikat itu.

 

Pada 29 Nov tahun lepas, seorang penimbang tara yang dilantik oleh AIAC memberikan kuasa interim kepada CMPI dalam prosiding timbang tara kecemasan yang ditadbir oleh pusat di bawah Peraturan Timbang Tara AIAC 2021. CMPI, yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysian Phosphate Additives (Sarawak) Sdn Bhd, telah memulakan timbang tara pada 25 Nov 2022 terhadap Sesco.

 

"Prosiding timbang tara tidak dijangka mempunyai sebarang kesan perniagaan material, kewangan atau operasi ke atas kumpulan CMS," kata Cahya Mata Sarawak.

 

Sementara itu, syarikat tidak mendedahkan sebarang butiran mengapa permohonan itu ditolak.

 

CMPI ialah syarikat usaha sama berikutan pakatan strategik antara anak syarikat CMS Samalaju Industries Sdn Bhd (SISB), Malaysia Ventures Sdn Bhd dan Arif Enigma Sdn Bhd, untuk pelaburan dalam kompleks fosfat bersepadu, menurut laporan tahunan 2021 CMS. - DagangNews.com