Bahagian awam IPO Cropmate terlebih langgan sebanyak 84.88 kali | DagangNews Skip to main content

Bahagian awam IPO Cropmate terlebih langgan sebanyak 84.88 kali

Gambar hiasan dari laman web Cropmate
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Cropmate Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE mengumumkan Tawaran Awam Permulaannya (IPO) kepada orang ramai Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 84.88 kali. 

 

Pengeluar baja itu berkata, ia menerima permohonan untuk 3,169,052,100 Saham Terbitan dengan nilai kira-kira RM633.81 juta telah diterima daripada orang ramai Malaysia. 

 

"Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 10,745 permohonan untuk 1,368,843,700 saham terbitan telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 73.19 kali. 

 

"Saham yang diperuntukkan kepada bahagian awam pula menerima permohonan sebanyak 10,647 untuk 1,800,208,400 saham terbitan telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 96.57 kali. 

 

"Sejumlah 14.76 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan oleh orang yang layak telah dilanggan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Cropmate
Pengarah Urusan Cropmate Berhad, Lee Chin Yok

 

Pengarah Urusan Cropmate Berhad, Lee Chin Yok berkata, sambutan kukuh terhadap IPO syarikat mencerminkan kepercayaan yang diberikan pelabur dalam perniagaan dan hala tuju strategiknya.  

 

"Sokongan ini mendorong kami untuk mengukuhkan operasi kami dan terus berinovasi untuk memenuhi keperluan industri pertanian yang semakin berkembang,” katanya. 

 

Hong Leong Investment Bank Berhad ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan pemilik buku IPO.

 

Cropmate Berhad dijadualkan membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Securities pada 5 Disember 2024. - DagangNews.com