KUALA LUMPUR 27 Nov - Malaysia dijangka memanfaatkan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 bagi mengekalkan kestabilan ekonominya dan pada masa sama meletakkan dirinya sebagai pemain serantau di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global berpunca daripada dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dengan penyatuan fiskal dan persekitaran dasar yang stabil, Malaysia menyediakan prospek yang menjanjikan untuk pelabur, kata Pakar Strategi Pelaburan di Institut Franklin Templeton, Christy Tan, sambil menilai implikasi pelantikan kali kedua Trump ke atas pasaran Asia.
Christy berkata demikian semasa webinar media bertajuk “2025 Investment Outlook: Perspectives from Asia and Beyond” anjuran Franklin Templeton, hari ini.
Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, beliau berkata, ringgit menunjukkan tanda-tanda penstabilan, memberikan keyakinan untuk trajektori yang lebih optimistik untuk aset Malaysia pada tahun akan datang.
"Prospek Malaysia stabil, dengan penyatuan fiskal menjadi pengawal utama pelabur. Pendirian dasar Bank Negara yang boleh diramal menambah lagi kestabilan ini, mengurangkan risiko kejutan," katanya lapor Bernama.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam memupuk integrasi ekonomi serantau, yang berpotensi meningkatkan sentimen pelabur dan prestasi pasaran, khususnya dalam sektor yang terikat dengan perdagangan dan diplomasi.
Beliau berkata, sikap berkecuali Malaysia dalam ketegangan AS-China yang semakin memuncak juga boleh menjadi satu kelebihan.
“Dasar berkecuali ini meletakkan negara sebagai pengantara yang berpotensi dalam perbincangan perdagangan serantau dan global, yang boleh meningkatkan kedudukan diplomatik dan ekonominya.
"Tumpuan negara terhadap industri utama, khususnya teknologi dan kecerdasan buatan (AI), terus menyokong naratif pertumbuhan jangka panjangnya,” katanya.
Beliau berkata, kemajuan Malaysia dalam teknologi, seperti pusat data dan inisiatif dipacu AI, sejajar dengan trend global, yang akan meletakkan negara sebagai pemain berdaya saing dalam ekosistem teknologi yang lebih luas.
Katanya, jawatan Pengerusi ASEAN juga membuka jalan untuk Malaysia mengukuhkan perkongsian perdagangan dan pengaruh serantaunya.
“Memandangkan landskap perdagangan global menjadi lebih kompleks dengan potensi tarif dan halangan perdagangan di bawah presiden Trump, kepimpinan Malaysia di ASEAN boleh membantu memacu rumusan kolaboratif, memanfaatkan ekonominya dan rantau ini,” katanya. - DagangNews.com