KUALA LUMPUR 16 Jan - Johor mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM2.1 bilion pada tahun lepas, tertinggi yang pernah direkodkan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata pencapaian itu sekali gus menyaksikan jumlah tersebut melebihi sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri sebanyak RM1.9 bilion.
“Atas berkat usaha semua pihak, kita berjaya merekodkan hasil negeri sebanyak RM2.1 bilion dan angka tertinggi yang pernah direkodkan untuk Johor.
"Kita bersyukur dan pada masa samaakan berusaha untuk meningkatkan lagi hasil negeri dan dapat memulangkan (manfaatnya) semula kepada rakyat," katanya pada sindang media selepas menghadiri Bengkel Strategik Program Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP), hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil kerajaan negeri pada tahun lepas.
Onn Hafiz berkata, berdasarkan pencapaian memberangsangkan itu,kerajaan negeri yakin mampu mencapai jumlah hasil sekurangkurangnya RM2.3 hingga RM2.5 bilion pada akhir tahun ini.
“Saya telah berbincang dan mempersembahkan (pencapaian hasil Johor) kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan kerajaan negeri mahu lebihan pendapatan yang dijana dipulangkan (manfaatnya) kepada rakyat.
“Tidak guna kita ada pendapatan banyak ini jika manfaatnya tidak dipulangkan dan rakyat perlu menikmati limpahan ekonomi tersebut,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, beliau bersama delegasi kerajaan negeri mengiringi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bagi lawatan kerja ke Doha, Qatar baru-baru ini.
Beliau berkata antara pencapaian daripada lawatan itu ialah Hasrat Qatar Airways yang menyatakan minatnya untuk bertapak dan membina fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Qatar Airways sedang mendapatkan maklumat daripada kita (kerajaan negeri) dari segi logistik dan sebagainya. Kerajaan negeri juga telah menghantar dokumen dan data berkaitan kepada mereka pada Isnin lepas,” katanya.
Beliau berkata perkara itu sekali gus akan merancakkan lagi sektor logistik di negeri itu sekiranya berjaya direalisasikan selain usaha kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Butiran akan dimuktamadkan. Buat masa ini, ia adalah sulit tetapi ada rancangan. Ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi untuk kita menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai,” katanya. - DagangNews.com