Rahim & Co ramalkan pasaran hartanah Malaysia kekal kukuh, walaupun berdepan cabaran ekonomi | DagangNews Skip to main content

Rahim & Co ramalkan pasaran hartanah Malaysia kekal kukuh, walaupun berdepan cabaran ekonomi

KUALA LUMPUR 16 Jan - Sentimen pasaran hartanah tempatan tahun ini, dijangka bercampur-campur walaupun mencatatkan prestasi kukuh pada 2024, didorong oleh kebimbangan mengenai kos sara hidup, kuasa beli dan ketidakpastian ekonomi global.

 

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co International Property Consultants Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, meskipun menghadapi cabaran itu, sektor hartanah tetap menunjukkan ketahanan dengan pertumbuhan di kawasan utama, serta peralihan ke arah inisiatif teknologi yang lebih mampan.

 

"Kami menjangkakan pasaran pada 2025 akan terus berkembang, dipacu oleh pembangunan kediaman, sektor-sektor baharu seperti pusat data dan tenaga boleh diperbaharui serta projek kemudahan utama.

 

"Situasi ini akan membangkitkan minat dan membuka peluang pelaburan baharu," katanya semasa pelancaran Kajian Pasaran Hartanah Rahim & Co Research Sdn Bhd 2024/2025 di sini, hari ini seperti laporan The Edge.

 

Beliau berkata, bagi sembilan bulan pertama 2024 (9M2024), kedua-dua jumlah dan nilai transaksi melebihi tahun-tahun sebelumnya dengan lebih 300,000 transaksi, naik 6.2% berbanding 2023, bernilai hampir RM163 bilion, meningkat 14.4% berbanding 2023.

 

"Walaupun kami mungkin belum mencapai angka pra-Covid, saya menjangkakan menjelang 2026, kita akan menyaksikan pemulihan sepenuhnya untuk sektor hartanah," jelasnya.

 

Dalam pembentangan mengenai Kajian Pasaran Hartanah 2024/2025, Pengarah Penyelidikan Rahim & Co, Sulaiman Saheh memberitahu, terdapat peningkatan dalam aktiviti transaksi merentasi semua subsektor hartanah.

 

"Jumlah transaksi yang dicatatkan sehingga 9M2024 adalah yang tertinggi sejak kemuncak pasaran pada 2011/2012. 

 

"Ia lebih pantas berbanding pertumbuhan 2023, di mana jumlah transaksi meningkat 2.5% kepada 399,008 transaksi, dengan nilai kumulatif meningkat 9.9% kepada RM196.83 bilion," jelasnya.

 

Katanya, jumlah transaksi kediaman meningkat 4.9% dengan peningkatan 6.9% dalam jumlah nilai, berjumlah RM78.17 bilion melalui 192,484 transaksi.

 

Tambah beliau, sektor runcit pula bakal menyaksikan pemulihan secara beransur-ansur, dengan pusat membeli-belah dan kedai baharu berkembang, terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

 

Sulaiman berkata, bagi sektor pejabat, syarikat-syarikat kini mengutamakan fleksibiliti, dengan pejabat berkembang menjadi hab kerjasama berbanding ruang kerja tradisional.

 

"Pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta lokasi kaya kemudahan dan akses pengangkutan yang mudah, adalah pemacu utama permintaan pada masa depan.

 

"Meskipun cabaran lebihan bekalan berterusan di ruang pejabat dan runcit, trend seperti flight-to-green dan flight-to-quality kemungkinan akan mengubah permintaan, kerana penyewa kini mencari bangunan yang mampan dan berkualiti tinggi, selaras dengan nilai korporat mereka," ujarnya.

 

Sementara itu, industri hartanah menunjukkan pertumbuhan positif pada 2024, dengan peningkatan 6.5% dalam jumlah aktiviti. 

 

Permintaan kekal kukuh dengan minat yang semakin berkembang terhadap taman industri yang maju teknologi dan saling berhubung dengan kemudahan pintar yang inovatif.

 

"Sektor industri dijangka berkembang lebih jauh, terutamanya dalam segmen pusat data, selain segmen logistik dan pergudangan yang semakin kompetitif yang masih menjadi perhatian, dipacu oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030," katanya. - DagangNews.com