KUALA LUMPUR 16 Jan - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sejumlah RM700 juta pinjaman telah diluluskan kepada 4,000 penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pinjaman yang diluluskan itu daripada pelbagai bank sejak syarikat berkenaan beroperasi 2020.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menawarkan khidmat bantuan perunding kewangan kepada kakitangan awam melalui platform media sosial dan jelajah ke jabatan serta kementerian.
"Sejak 2020, syarikat mendapat keuntungan yang diperoleh daripada yuran perkhidmatan, yuran penyelesaian hutang lapuk dan skim pelaburan daripada peminjam yang dibuat melalui pembiayaan peribadi pelbagai bank secara serentak.
"Hasil aktiviti itu, syarikat membayar dividen kepada peminjam sebanyak 4% sebulan daripada jumlah pelaburan yang dibuat syarikat," katanya, lapor Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata, siasatan yang dijalankan SPRM mengesan syarikat menggunakan hasil haram itu untuk membeli aset, hartanah dan kenderaan mewah untuk kepentingan peribadi.
Menurut Azam, pihaknya kini sedang mengenal pasti aset dan akaun bank lain milik syarikat itu untuk tindakan pembekuan.
"Dijangka akan ada tambahan 20 akaun bank akan dibekukan. Setakat ini sebanyak 70 akaun bank berjumlah RM16.2 juta sudah dibekukan," katanya.
Katanya, pelbagai aset dan barangan mewah turut disita termasuk wang tunai berjumlah RM300 ribu; mata wang Hong Kong 95,000 (kira-kira RM54,985); 17 jam tangan mewah dianggarkan RM11.1 juta; lima beg tangan berjenama (RM430,000); lima set barang kemas (RM50,000) serta sembilan kenderaan pelbagai jenama.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai pegawai bank yang terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dengan organisasi perunding kewangan berkenaan akan ditahan menerusi Op Sky dalam masa terdekat.
Harian Metro terdahulu melaporkan, SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.
Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.- DagangNews.com