KUALA LUMPUR 16 Jan - Eastern & Oriental Bhd (E&O) melancarkan projek kediaman menghadap laut terbaharu, Maris, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM700 juta.
Pemaju hartanah itu berkata, pembangunan pegangan bebas 49 tingkat yang dilancarkan itu terdiri daripada 516 unit pangsapuri perkhidmatan yang lengkap, terletak di kawasan Gurney Green yang dinamik di Pulau Andaman, Georgetown, Pulau Pinang.
Katanya, unit dengan dua bilik tidur mempunyai keluasan 979 kaki persegi (kps), manakala unit tiga bilik tidur mempunyai keluasan antara 1,177 kps hingga 1,356 kps dengan harga dijangka bermula dari RM950,000.
"Maris mencerminkan gaya hidup bertemakan marina dan menawarkan penghuni gabungan unik antara kemudahan bandar dan ketenangan di tepi laut," jelas kenyataan itu.
Projek tersebut mempunyai lapan unit kedai tepi laut, yang menyepadukan komponen runcit dan kediaman, membolehkan penghuni menikmati pelbagai kemudahan dan ruang sosial.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, Maris meraikan gaya hidup moden, yang menggabungkan kemewahan, fungsi dan kelestarian.
"Konsep tepi marina ini menawarkan persekitaran yang bertenaga namun tenang, di mana keperluan harian berada dalam jarak langkah sahaja," katanya.
Reka bentuk yang mesra pejalan kaki memastikan akses mudah kepada pelbagai kemudahan sambil menggalakkan gaya hidup aktif di luar rumah.
Ia akan mengubah kawasan tersebut menjadi ruang terbuka yang memupuk interaksi sosial serta kehidupan bermasyarakat.
Ciri utama Maris adalah kemudahan dan fasiliti yang disediakan, termasuk kolam infiniti, taman hutan, taman haiwan peliharaan, gimnasium dan ruang sosial untuk menggalakkan interaksi penduduk.
Maris juga mematuhi piawaian Platinum GreenRE, menggabungkan bahan berkualiti dan amalan terbaik yang berorientasikan alam sekitar bagi memastikan kecekapan tenaga. - DagangNews.com