AirAsia ambil alih operasi Gojek di Thailand bernilai RM207.83 juta | DagangNews Skip to main content

AirAsia ambil alih operasi Gojek di Thailand bernilai RM207.83 juta

KEVIN ALUWI (kiri, atas), Aireen Omar (kanan, atas), Amanda Woo (kiri, bawah) dan Tony Fernandes (kanan, bawah) pada sidang media khas pengumuman pengambilalihan operasi Gojek di Thailand.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Cabang digital AirAsia Group Berhad, AirAsia Digital Sdn. Bhd. bakal mengambilalih operasi platform pemanduan e-hailing serta perkhidmatan dan pembayaran mudah alih, Gojek di Thailand.

 

Dalam makluman kumpulan di Bursa Malaysia, AirAsia Digital telah menandatangani perjanjian pengambilalihan 100% ekuiti di dalam Velox Technology (Thailand) Co. Ltd. (VT) bernilai RM166.26 juta dan 100% ekuiti di dalam Velox Fintech Co. Ltd. (VF) bernilai RM41.57 juta, yang menjadikan jumlah pengambilalihan keseluruhannya bernilai sekitar RM207.83 juta.

 

Kesemua pengambilalihan itu akan sepenuhnya dilunaskan menerusi terbitan saham dalam modal saham AirAsia SuperApp yang telah diterbitkan. 

 

Ini bermakna, kesemua firma yang menjual ekuiti di dalam VT iaitu Velox South-East Asia Holdings Pte. Ltd (VSEA), Go-jek Singapore Pte. Ltd. dan Velox Technology South-East Asia akan memegang 4.76% daripada modal saham yang diterbitkan di dalam AirAsia SuperApp.

 

airasia
BUTIRAN sebelum dan selepas pengambilalihan operasi Gojek di Thailand.

 

Kerjasama unggul ini dijangka dapat mengembangkan airasia Super App di Asean, dan pada masa yang sama meningkatkan pelaburan Gojek dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

 

“Melalui kerjasama ini juga, Gojek akan menerima pegangan saham dalam airasia Super App yang kini bernilai AS$1 bilion. Aplikasi Gojek akan terus beroperasi untuk para pengguna semasa di Bangkok sehingga 31 Julai 2021 untuk memastikan suatu peralihan yang lancar bagi pihak berkepentingan Gojek, termasuk pemandu dan peniaga yang akan dijemput menyertai airasia Super App dalam beberapa minggu akan datang.

 

“AirAsia akan bekerjasama dengan kakitangan tempatan Gojek di Thailand untuk mengendali perniagaan Gojek dalam tempoh peralihan sebelum terus  menyertai airasia Super App, di mana mereka membawa kepakaran dalam pasaran tempatan dan kefahaman keperluan pengguna di Thailand,” jelas AirAsia dalam satu kenyataan berlainan.

 

Tambah kumpulan, kerjasama itu sejajar dengan penyusunan semula strategi antarabangsa Gojek untuk meningkatkan pelaburan dalam operasinya di Vietnam dan Singapura, bagi memacu pertumbuhan perniagaan mereka.

 

Ini termasuk memperluas inisiatif pemerolehan pemandu dan peniaga, meningkatkan pengalaman pengguna serta melancarkan produk dan perkhidmatan baharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pengumuman itu merupakan permulaan kepada satu kerjasama strategik jangka panjang yang luar biasa bersama Gojek.

 

“Ini sudah tentu merupakan strategi jangka panjang, dan bukannya pendek. Perniagaan penerbangan akan muncul semula, seperti mana berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kami percaya perniagaan ini akan menjadi lebih kukuh berbanding prestasi yang dicatatkan sebelum pandemik COVID-19 lagi. 

 

“Namun, kami mempunyai data yang banyak, dikumpulkan sejak 19 tahun, dan kami sedang membina ekosistem teknologi kewangan (fintech)) dan logistik yang hebat. Ini (pengambilalihan operasi Gojek di Indonesia) sudah tentu merupakan strategi jangka panjang buat AirAsia,” katanya dalam satu sidang media khas secara maya berhubung pengumuman kerjasama berkenaan. 

 

 Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Gojek, Kevin Aluwi; Presiden Airasia Digital, Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Airasia Super App, Amanda Woo.

 

Sementara itu, Kevin menafikan bahawa kerjasama ini bertujuan meningkatkan penilaian tawaran awam awal (IPO) Gojek di Indonesia, sebaliknya tampil menjelaskan ia selari dengan komitmen mereka untuk melabur di pasaran Singapura dan Vietnam. 

 

Kata beliau, setelah membuat pemerhatian ke atas beberapa pasaran antarabangsa, Gojek membuat keputusan untuk memberikan lebih keutamaan kepada pasaran Singapura serta Vietnam yang mempunyai potensi tinggi. 

 

Sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada Thailand, airasia Super App akan terus memanfaatkan ekosistem sedia ada untuk perkhidmatan rakan penghantar, perniagaan dan pelanggan dengan menawarkan pelbagai tawaran baharu seperti makanan, barangan runcit dan produk kecantikan. 

 

Perkhidmatan ini juga akan dikembangkan ke pasaran baharu seperti Chiang Mai dan Phuket dalam masa terdekat. - DagangNews.com