AirAsia gesa rakyat terima suntikan vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

AirAsia gesa rakyat terima suntikan vaksin COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Memandangkan Malaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, AirAsia Berhad menyeru semua lapisan masyarakat untuk menyokong kerajaan mengakhiri pandemik itu menerusi suntikan vaksin. 

 

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes secara sukarela untuk menerima suntikan itu apabila tiba gilirannya. 

 

“AirAsia lebih daripada bersedia dan tidak sabar untuk ‘terbang’ sekali lagi dengan banyak inovasi baharu serta prosedur digital tanpa sentuhan dalam memastikan standard keselamatan dan kebersihan pelanggan yang tinggi. 

 

Tony Fernandes
Tony Fernandes

 

“Inilah masanya untuk kita bergabung dan menunjukkan bagaimana Malaysia bersatu serta membantu kerajaan untuk mendapatkan vaksin kepada penduduk di negara ini. 

 

“Saya menggesa semua untuk menghapuskan maklumat salah mengenai vaksin, dan mempercayai para saintis dan pakar,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Jelas Fernandes, industri penerbangan terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, tetapi AirAsia masih teguh berdiri dan menanti sempadan negara dibuka semula. 

 

Beliau dalam masa sama teruja apabila kementerian menerusi MIMOS Berhad telah membangunkan Sistem Pengurusan Vaksin berasaskan blok rantai bagi memastikan penghantaran dan pengedaran vaksin yang cekap dan selamat ke dalam negara. 

 

“Ini juga perlu mengambil kira sasaran populasi dan lokasi yang tepat untuk memastikan kita mencapai hasil yang paling berkesan dalam jangka masa pendek. 

 

“AirAsia berhasrat untuk memainkan peranan penting dalam kempen vaksinasi. Bahagian logistik kami, Teleport sangat bersedia untuk membantu sebaik mungkin termasuk mengangkut vaksin dari China dan Rusia apabila tersedia dan mengedarkannya secara domestik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India dan negara-negara lain.

 

“Sementara juruterbang dan kru kabin kami yang tidak banyak berkhidmat dalam operasi penerbangan seperti sebelum ini juga boleh membantu perkhidmatan pekerja barisan hadapan ketika pelaksanaan vaksinasi,” ujarnya lanjut. 

 

Tambah Fernandes, dengan sumbangan sebanyak 15% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta 24% daripada jumlah pengambilan pekerja dalam negara, sektor pelancongan adalah salah satu pemacu ekonomi penting. 

 

Sehubungan itu, beliau memohon supaya mereka yang terlibat dalam industri itu diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19. - DagangNews.com