airasia perkenal idola maya pertama : Aozora Kurumi | DagangNews Skip to main content

airasia perkenal idola maya pertama : Aozora Kurumi

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - airasia memperkenalkan idola maya pertamanya, Aozora Kurumi yang sekali gus menandakan era penstriman kandungan baharu di ASEAN.

 

Idola maya ini adalah sebahagian daripada Project Kavvaii airasia, sebuah program untuk mencari dan mengembangkan bakat idola maya di ASEAN yang telah dilancarkan pada bulan Mac lepas.

 

Digayakan ala zaman Victoria bersama-sama haiwan peliharaannya Jetson, Aozora Kurumi direka oleh seorang artis ilustrator terkenal dalam komuniti idola maya, Yueko.

 

Watak tersebut akan dianimasikan oleh sebuah syarikat veteran dalam industri ini iaitu Iron Vertex, dan disuarakan oleh bakat yang dipilih daripada uji bakat terbuka Project Kavvaii yang diadakan baru-baru ini pada bulan Mac di sekitar ASEAN dan negara-negara lain.

 

Idola maya ini akan menghasilkan kandungan dalam talian yang menarik menerusi pelbagai kategori seperti permainan dan gaya hidup selain kandungan siaran langsung dan mengambil bahagian dalam aktiviti dalam talian dan luar talian tidak lama lagi. Video strim pertama Aozora Kurumi akan disiarkan di laman YouTube pada 8 Mei 2021 jam 8 malam (GMT +8).

 

Untuk membawa kandungan maya ke tahap seterusnya, airasia akan bekerjasama dengan pixiv, peneraju komuniti dalam talian untuk bakat seni di Jepun dan di seluruh dunia. Kerjasama ini merangkumi peraduan eksklusif untuk peminat Aozora Kurumi pada bulan September akan datang dan saluran pixiv khusus melalui wifi airasia termasuklah kandungan eksklusif daripada platform pixivision.

 

Ketua Pegawai Jenama airasia Group Rudy Khaw berkata, pihaknya berbangga untuk memperkenalkan idola maya pertama airasia pada hari ini yang dijangka menjadi pemacu masa depan kandungan penstriman di ASEAN.

 

"Sebagai sebuah syarikat digital, perubahan berterusan dalam cara para pengguna menonton kandungan dalam talian mendorong kami untuk meneroka inovasi antara industri melalui Project Kavvaii untuk kekal relevan dan mendahului trend.

 

"Kami juga amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pixiv yang akan membawa kami lebih dekat kepada komuniti ini dan berharap dapat melihat Aozora Kurumi meneraju dunia kandungan tidak lama lagi!,” katanya.

 

Aozora Kurumi boleh diikuti  di YouTube, Twitter, Instagram, dan Facebook untuk kemas kini terkini dan nantikan video penstriman pertamanya secara langsung pada 8 Mei 2021 jam 8 malam. - DagangNews.com