AirAsia perkukuh perkhidmatan menerusi pelancaran semula 7 destinasi antarabangsa di China | DagangNews Skip to main content

AirAsia perkukuh perkhidmatan menerusi pelancaran semula 7 destinasi antarabangsa di China

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - AirAsia terus memperkukuh perkhidmatan penerbangan dan bersedia untuk terbang lebih tinggi dengan pelancaran semula tujuh destinasi antarabangsa di China.

 

AirAsia Malaysia (AK) bakal terbang semula ke empat destinasi di China dari dua hab, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Macao, Shenzhen, Guangzhou dan Kunming dengan kekerapan 10 penerbangan mingguan, dengan rancangan untuk meningkatkan kekerapan sehingga 27 penerbangan mingguan pada bulan Mac. 

 

Penerbangan pertama ke/dari China dimulakan semula pada 10 Februari 2023 lalu ke/dari Guangzhou dengan faktor muatan tinggi untuk penerbangan dua hala.

 

Melengkapi penyambungan semula destinasi jarak dekatnya, AirAsia X Malaysia akan menyambung semula laluan dari Kuala Lumpur ke Shanghai, Hangzhou dan Chengdu dengan 10 penerbangan mingguan bermula 1 Mac 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, China ialah pasaran penting untuk Kumpulan AirAsia, yang mana pihaknya merupakan syarikat penerbangan tambang rendah antarabangsa terbesar mengikut kapasiti pra-pandemik. 

 

"Berdasarkan faktor muatan tinggi bagi penerbangan sulung kami ke/dari Guangzhou pada minggu lalu, permulaan semula perkhidmatan kami bukan sahaja akan memberikan nilai dan akses yang lebih baik kepada pengembara yang membuat perjalanan penting dari Malaysia dan pelancong dari China, malah akan meningkatkan pertumbuhan pelancongan, perdagangan dan ekonomi di kedua-dua buah negara dengan ketara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benjamin Ismail pula berkata, China akan menjadi tumpuan pasaran utama pihaknya seterusnya dalam pada memperkukuh strategi pertumbuhan melalui pelancaran laluan paling popular dan menguntungkan. 

 

 

airasia

 

 

"Kami telah menyaksikan kejayaan yang luar biasa dengan perkhidmatan ke China pra-pandemik yang mana kami membawa lebih 1.8 juta tetamu ke/dari China pada tahun 2019 sahaja. 

 

"Kami percaya permulaan semula perkhidmatan ke China ini akan menjadi popular untuk pengembara perniagaan, pelajar antarabangsa, para tetamu yang melawat keluarga serta merangsang permintaan serantau antara dua pasaran besar melalui tambang rendah dan perkhidmatan bernilai tinggi," katanya.

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

Memandangkan kemasukan ke China pada masa ini terhad kepada visa tertentu sahaja, para tetamu dinasihatkan untuk menyemak keperluan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju. 

 

Dalam pada itu, AirAsia Malaysia menawarkan tambang termasuk semua untuk pengembara yang membuat perjalanan penting daripada RM151 sehala dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Macau, Shenzhen, Guangzhou dan Kunming. 

 

Orang ramai boleh 'terbang' lebih jauh dengan AirAsia X Malaysia dari Kuala Lumpur ke Shanghai, Hangzhou dan Chengdu dengan tambang termasuk semua daripada RM899 sehala untuk tempat duduk Ekonomi atau RM2,199 untuk tempat duduk Premium Flatbed. - DagangNews.com