AirAsia rancang tukar semua pesawatnya kepada A321neo | DagangNews Skip to main content

AirAsia rancang tukar semua pesawatnya kepada A321neo

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - AirAsia Group mengukuhkan komitmennya untuk menukar jenis pesawat utama yang dikendalikannya iaitu A320 kepada A321neo yang mempunyai kapasiti lebih besar dan menawarkan lebih penjimatan bahan api.

 

Langkah itu dilaksanakan setelah kumpulan menandatangani perjanjian pindaan dengan Airbus S.A.S (Airbus) yang mana AirAsia akan menukar baki tempahan pesawatnya kepada A321neo.

 

Perjanjian tersebut menandakan komitmen AirAsia untuk menempah model terbesar dalam kategori pesawat A320. 

 

Ini juga menandakan pesawat A321neo akan menggantikan semua pesawat A320 AirAsia pada masa hadapan, yang akan memberikan manfaat kelestarian ketara melalui penjimatan bahan bakar dengan pengurangan kira-kira 5,000 tan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) bagi setiap pesawat pada setiap tahun.

 

Selain itu, penggunaan pesawat itu dapat mengurangkan pelepasan gas nitrogen oksida (NOx) sehingga 2 digit dengan bunyi enjin yang lebih senyap.

 

Presiden (Penerbangan) AirAsia Group, Bo Lingam berkata, kumpulan telah mengkaji strategi rangkaian dan jenis pesawat secara menyeluruh untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan di laluan paling popular dan menguntungkan dalam persiapan untuk memulakan kembali penerbangan di seluruh rangkaian. 

 

Katanya, pesawat A321neo juga mempunyai 50 tempat duduk tambahan dan ruang kargo lebih besar, yang akan membolehkan AirAsia mengurangkan lagi kos untuk tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) di seluruh kumpulan, seterusnya menjadikan tambang udara lebih rendah untuk para tetamu. 

 

“Ini adalah hasil perbincangan dan kerjasama rapat kami dengan Airbus. Transformasi pesawat kami kepada A321 sepenuhnya akan memperkukuhkan lagi struktur kos rendah bagi operasi kami. 

 

"Pesawat Airbus A321neo adalah peneraju dalam kategorinya dan ia akan membolehkan AirAsia memenuhi permintaan di seluruh rangkaian kami dengan kecekapan operasi yang lebih tinggi dan penjimatan bahan bakar lebih daripada 10%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

a321neo

 

 

Pesawat A321neo yang mempunyai sehingga 236 tempat duduk dengan lorong tunggal, membolehkan AirAsia meningkatkan kapasiti dan memanfaatkan kos operasi terendah dalam kategori lorong tunggal. 

 

Dilengkapi dengan Space-Flex Cabin Airbus yang menjadikan konfigurasi kabin lebih efisien, pesawat A321neo turut memberikan keselesaan yang optimum kepada para tetamu.

 

Penukaran 13 baki tempahan pesawat A320 kepada A321neo menjadikan jumlah tempahan pesawat A321neo AirAsia kepada 362 pesawat. 

 

Pesawat-pesawat ini akan diperuntukkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di bawah AirAsia Group berdasarkan permintaan hingga tahun 2035, seperti yang dipersetujui antara AirAsia dan Airbus. 

 

AirAsia menerima pesawat pertama A321neo pada November 2019 dan buat masa ini mengendalikan sejumlah empat pesawat jenis A321neo. 

 

Kini, AirAsia Group mempunyai sejumlah 211 pesawat yang terdiri daripada 169 pesawat A320, 38 pesawat A320neo dan 4 pesawat A321neo.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Airbus dan Ketua Airbus International, Christian Scherer berkata, ia merupakan satu lagi sokongan terhadap A321neo sebagai pesawat lorong tunggal paling cekap dan popular di dunia. 

 

Malah, katanya, ini juga merupakan contoh bagaimana Airbus bekerjasama dengan pelanggannya untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai dengan kesan pandemik ini. 

 

"Kami turut berbesar hati untuk melihat peningkatan lalu lintas udara di seluruh dunia berikutan sekatan perjalanan yang telah mula dibuka. 

 

"AirAsia akan terus maju berikutan pemulihan ini yang sudah tentunya akan tiba di Asia, yang didorong oleh permintaan perjalanan, kecekapan pesawat Airbus dan jenama uniknya," katanya. - DagangNews.com