airasia ride capai 2 juta penumpang sempena ulang tahun pertama operasi | DagangNews Skip to main content

airasia ride capai 2 juta penumpang sempena ulang tahun pertama operasi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - airasia Super App mengambil satu langkah berani sebagai antara pemain industri e-panggilan di Malaysia dengan mengumumkan tawaran pekerjaan sepenuh masa kepada para pemandu cabang e-panggilannya, airasia ride yang kini memasuki tahun pertama pengoperasiannya.

 

airasia ride yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu kini mempunyai 53,000 pemandu berdaftar di bawah platformnya dan telah melengkapkan sebanyak 2 juta tumpangan setakat ini. 

 

Berkuat kuasa 1 Oktober 2022, pemandu daripada program sedia ada yang layak serta pemandu baharu boleh memilih untuk menyertai program Pemandu Sepenuh Masa yang akan membolehkan mereka untuk memperoleh pendapatan asas bulanan sehingga RM3,500.

 

Ia juga termasuk faedah petrol, peluang menjana jumlah pendapatan sehingga RM8,000 dengan tambahan skim insentif pemandu, di samping rangkaian penuh manfaat sebagai Allstar termasuk KWSP, Perkeso, perlindungan perubatan termasuk pasangan dan anak-anak, cuti tahunan serta manfaat pelancongan lain termasuk kadar diskaun kakitangan yang tinggi untuk penerbangan AirAsia. 

 

Platform e-panggilan paling pesat berkembang di Malaysia itu telah memperjuangkan tambang berpatutan kepada kedua-dua pemandu dan penumpang serta sentiasa mempertimbangkan kemampuan penumpang di samping memberi faedah setimpal kepada para pemandunya dengan tambahan waktu perjalanan disebabkan trafik yang sesak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebulan yang lalu pihaknya telah menjadi yang pertama di rantau ini untuk menawarkan pekerjaan sepenuh masa kepada pekerja penghantaran gig.

 

"Hari ini kami ingin meraikan setahun pengoperasian airasia ride dengan mengumumkan tawaran pekerjaan secara sepenuh masa kepada pemandu airasia ride yang berkelayakan.

 

“Dalam sebuah perniagaan e-panggilan, para pemandu merupakan bahagian yang penting dalam operasinya. Sejak hari pertama kami menubuhkan airasia ride, kebajikan mereka merupakan keutamaan dan kami amat berbangga untuk terus kekal di hadapan melalui pengumuman hari ini. 

 

"Pesaing-pesaing kami mendenda pemandunya untuk tidak mengambil tugasan, tetapi kami melihatnya daripada perspektif lain dan memberi ganjaran kepada para pemandu yang telah menunjukkan rekod yang baik dan komitmen tinggi kepada tugasan mereka dengan menawarkan laluan kerjaya yang kukuh bersama airasia ride," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pemandu airasia ride, G Gowrish Nambiar berkata, dia meninggalkan kampung halaman di Johor dan mengambil keputusan untuk bekerja dengan airasia ride di Lembah Klang bermula April 2022. 

 

"Hari ini merupakan hari yang sangat gembira kerana pihak syarikat telah berbesar hati untuk menawarkan pekerjaan secara sepenuh masa kepada kami dan berasa dihargai. 

 

"Sebagai seorang pemandu sepenuh masa, kami telah berusaha untuk mendapatkan jaminan pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi, dan bersyukur kerana airasia Super App telah menjadi yang pertama untuk menawarkan peluang ini di pasaran. Saya percaya tawaran ini akan memotivasikan para pemandu untuk bekerja dengan lebih baik," katanya.

 

airasia ride kini beroperasi di 11 lokasi di seluruh Malaysia, dan baru-baru ini telah melancarkan operasinya di Kota Kinabalu semalam dengan sambutan hangat pada sebuah acara yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Jeffery Kitingan. - DagangNews.com