airasia Super App jalin kerjasama dengan MG Group perkukuh kedudukan agensi pelancongan dalam talian | DagangNews Skip to main content

airasia Super App jalin kerjasama dengan MG Group perkukuh kedudukan agensi pelancongan dalam talian

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - airasia Super App memperkukuh dan mengembangkan platform agensi pelancongan dalam taliannya (OTA) dengan mengadakan kerjasama dalam pengedaran dan teknologi MG Group.

 

Kerjasama ini akan menyaksikan integrasi platform MG Jarvis ke platform jualan airasia Super App pada aplikasi dan laman web. 

 

Integrasi ini akan menawarkan pelanggan airasia lebih 350,000 tempat penginapan yang ditawarkan di platform MG dan membolehkan rakan kongsi hotel MG memanfaatkan kekuatan airasia, sebagai aplikasi super dan peneraju syarikat penerbangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, industri pelancongan berkembang pesat dan penting bagi pihaknya untuk terus bekerjasama dengan pemain industri, kerana ia akan menawarkan nilai terbaik kepada pengguna aplikasi dan rakan kongsi hotelnya. 

 

"Sebagai OTA, kami kini mempunyai 700 rakan kongsi syarikat penerbangan di platform kami, termasuk Etihad, Emirates, Turkish Airlines, Air France dan banyak lagi untuk menghubungkan orang ramai ke lebih 3,000 destinasi di seluruh dunia. 

 

"Kerjasama dengan MG Groupyang mempunyai kekuatan dalam pengedaran dan teknologi hotel akan melengkapkan kami sebagai platform OTA dan mempercepatkan pelan airasia Super App untuk menjadi OTA terkemuka di rantau ini untuk menawarkan pelanggan kami nilai terbaik. 

 

"Kami sudah pun menjadi salah satu daripada tiga OTA dalam talian teratas di Asean dan kami berharap kerjasama dengan MG Group ini akan terus melonjakkan kedudukan kami lebih jauh ke hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Presiden Pengarah MG Group, Brett Henry pula berkata, airasia merupakan inspirasi kepada semua jenama pelancongan di Asia Tenggara terutamanya pada masa yang mencabar ini. 

 

Jelasnya, airasia terus kekal sebagai peneraju industri dengan model dan produk baharu untuk membina jenama perjalanan dan gaya hidup terbaik.

 

“MG berbangga kerana dapat bekerjasama dengan pemimpin industri seperti airasia dan hubungan ini sejajar dengan misi kami untuk membantu hotel untuk terus berkembang. Platform MG Jarvis baharu amat tepat untuk menyokong permintaan tinggi dan masa tindak balas pantas yang diperlukan oleh airasia Super App," katanya.

 

airasia Super App mempunyai 16 produk dan perkhidmatan dalam pelbagai kategori, antaranya perkhidmatan penghantaran makanan, barangan runcit, e-dagang, e-panggilan dan banyak lagi.

 

Orang ramai boleh melihat perkembangan terkini airasia Super App melalui @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook atau muat turun airasia Super App menerusi Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery sekarang. - DagangNews.com