AirAsia tawar 5 juta tempat duduk percuma, penerbangan serendah RM23 ke destinasi domestik | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar 5 juta tempat duduk percuma, penerbangan serendah RM23 ke destinasi domestik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - AirAsia terus komited untuk memacu industri pelancongan di ASEAN dengan melancarkan kempen jualan 5 juta tempat duduk percuma pertama pada tahun ini ke destinasi domestik dan antarabangsa.

 

Para tetamu boleh terbang ke destinasi domestik seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Sibu, Kota Kinabalu dan banyak lagi daripada serendah RM23 dan ke destinasi antarabangsa termasuk Bali, Krabi, Jakarta, Macao, Shenzhen, Guangzhou, Phu Quoc, Bandar Ho Chi Minh, Singapura dan banyak lagi daripada RM60.

 

Bagi mereka yang ingin terbang lebih jauh, AirAsia X menawarkan penerbangan ke Gold Coast, Busan, Taipei, Tokyo dan banyak lagi dengan tambang rendah termasuk semua daripada RM329 sehala untuk tempat duduk ekonomi. 

 

Penerbangan tersedia untuk tempahan bermula hari ini hingga 19 Februari 2023 dengan tempoh perjalanan antara 1 Mac 2023 dan 10 Disember 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, AirAsia telah menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan ASEAN, yang mana pihaknya sahaja menyumbang kepada lebih daripada 2% daripada KDNK Malaysia. 

 

Katanya, kemungkinan 2% adalah jumlah yang kecil tetapi bagi negara besar seperti Malaysia dengan KDNK bernilai lebih daripada RM1.5 trilion, 2% itu adalah sumbangan yang cukup besar.

 

“Bukan itu sahaja, kami juga menjana impak melangkaui industri penerbangan dan pelancongan, dan hasilnya, AirAsia telah menyumbang lebih 300,000 peluang pekerjaan di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

airasia

 

 

Tambahnya, AirAsia merancang untuk menerbangkan lebih 69 juta tetamu pada setiap tahun yang akan memberikan rangsangan hebat kepada industri pelancongan Malaysia.

 

"Prestasi tepat masa (OTP) kami telah bertambah baik dan kini berpurata sekitar 80%. Kami yakin tentang OTP kami dan pada masa yang sama kami mahu para tetamu lebih tenang apabila mereka terbang bersama kami. 

 

"Justeru kami berbesar hati untuk melancarkan Insurans Kelewatan Penerbangan pertama dalam industri yang ditaja jamin oleh Tune Protect," katanya.

 

Insurans Kelewatan Penerbangan menawarkan bayaran sebanyak RM200 untuk kelewatan penerbangan sekurang-kurangnya dua jam dari masa perlepasan yang dijadualkan atau mana-mana waktu pelepasan baharu. 

 

Ia kini tersedia secara percuma kepada semua tetamu yang menempah penerbangan mereka dari 10 hingga 19 Februari 2023 untuk tempoh perjalanan antara 1 Mac 2023 dan 10 Disember 2023. - DagangNews.com