AirAsia tawar jualan 5 juta tempat duduk percuma untuk 120 destinasi, bermula 19 hingga 25 September 2022 | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar jualan 5 juta tempat duduk percuma untuk 120 destinasi, bermula 19 hingga 25 September 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - AirAsia menawarkan jualan sebanyak lima juta tempat duduk secara percuma hari ini sehingga 25 September 2022 sempena meraikannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Asia.

 

Para tetamu boleh menikmati tawaran tambang penerbangan dan lain-lain untuk tempoh perjalanan antara 1 Januari dan 28 Oktober 2023. Tempahan boleh dibuat dengan menekan pada ikon ‘Flights’ di aplikasi airasia Super App atau laman web.

 

Jualan tempat duduk percuma ini meliputi sehingga 120 destinasi domestik dan antarabangsa popular di seluruh ASEAN termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Johor Bahru, Krabi, Phu Quoc dan Singapura.

 

Tambang termasuk semua daripada RM23 untuk penerbangan domestik, manakala tambang termasuk semua daripada RM54 untuk penerbangan di rantau ASEAN (termasuk cukai lapangan terbang, caj MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia), surcaj bahan api dan bayaran lain yang berkenaan).

 

Kepada mereka yang ingin melancong lebih jauh, jualan ini juga tersedia bagi syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia X dan Thai AirAsia X untuk penerbangan ke Korea Selatan, (Seoul), Australia (Melbourne, Sydney, Perth, Auckland), dan India (New Delhi). 

 

Tambang termasuk semua sehala daripada RM499 untuk tempat duduk ekonomi dan daripada RM1,499 untuk tempat duduk Premium Flatbed. Tempoh perjalanan adalah antara 3 Oktober 2022 dan 28 Oktober 2023.

 

Dengan penyambungan semula operasi semua syarikat penerbangan ke pasaran-pasaran utama, AirAsia X juga mengumumkan penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Jeddah di Timur Tengah dan ke Tokyo (Haneda) dan Sapporo di Jepun, yang akan dilancarkan pada bulan November dan Disember serta sedia untuk ditempah mulai sekarang. 

 

 

airasia

 

 

Laluan popular Kuala Lumpur ke Jeddah kembali di atas permintaan ramai akan mula beroperasi sebanyak enam kali seminggu bermula 14 November dengan tambang termasuk semua bermula daripada RM1,799 untuk tempat duduk ekonomi dan RM2,999 untuk tempat duduk Premium Flatbed bagi tempoh perjalanan antara 14 November 2022 dan 25 Mac 2023. 

 

Penerbangan terus ke Tokyo (Haneda) dan Sapporo juga telah kembali dengan tambang termasuk semua sehala daripada RM599 untuk tempat duduk ekonomi dan RM2,599 tempat duduk Premium Flatbed bagi tempoh perjalanan antara 21 November 2022 dan 24 Mac 2023 untuk Tokyo dan 1 Disember 2022 dan 1 Februari 2023 bagi Sapporo. 

 

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Karen Chan berkata, mereka teruja untuk kembali terbang tinggi dengan semangat baharu dan ingin meraikannya bersama-sama para tetamu yang terus menyokong. 

 

"Walaupun COVID telah mengubah dunia selama-lamanya, kami masih menawarkan tambang rendah yang sama. Sebagai sebuah syarikat penerbangan untuk semua, kami berbangga kerana dapat menghubungkan orang ramai ke pelbagai destinasi. 

 

"Kami juga akan terus mengutamakan para tetamu kerana mereka mendorong kami untuk menawarkan lebih nilai dan peluang kepada semua orang untuk terbang ke destinasi impian mereka.

 

“Sejak 21 tahun yang lalu, AirAsia telah membawa lebih 700 juta penumpang, dan hampir 100 juta tetamu pada setiap tahun sebelum pandemik melanda, merevolusikan industri dan menjadikan perjalanan udara berpatutan untuk semua.

 

"Dengan pembukaan semula sempadan dunia dan sebagai persediaan ulang tahun ke-21 kami, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para tetamu kami yang setia bersama kami dengan kempen tempat duduk pecuma terbesar ini. Selain menyambung semula banyak laluan utama, kami juga memperkenalkan laluan baharu menarik untuk semua," katanya. - DagangNews.com