AirAsia tawar tambang serendah RM99 untuk laluan baharu Sibu-Singapura | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar tambang serendah RM99 untuk laluan baharu Sibu-Singapura

Gambar airasia newsroom
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - AirAsia mengumumkan pelancaran laluan antarabangsa baharu dari Sibu, Sarawak ke Singapura dengan menawarkan tambang serendah RM99 sehala untuk tempoh perjalanan bermula 16 Disember 2022 hingga 24 Mac 2023. 

 

Penerbangan sulungnya dijangka akan berlepas pada 16 Disember 2022, dengan kekerapan sebanyak empat kali seminggu.

 

AirAsia pada awal tahun ini telah melancarkan dua penerbangan terus yang menghubungkan Sarawak ke Singapura berikutan permintaan yang kukuh. Kedua-dua penerbangan sulung dari Kuching dan Miri ke Singapura telah berlepas pada 29 April 2022 lalu.

 

Laluan baharu dari Sibu ini menandakan laluan antarabangsa ketiga syarikat penerbangan itu dari Bumi Kenyalang, menjadikan AirAsia sebagai syarikat penerbangan dengan rangkaian terluas dan sambungan terbesar di Sarawak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya ingin sentiasa menawarkan laluan yang unik dan kurang mendapat perkhidmatan kepada para tetamu kami di samping memacu perkembangan industri perjalanan udara melalui rangkaian luas dengan tambang berpatutan.

 

Beliau berkata, mereka berbesar hati untuk mengumumkan laluan baharu yang belum pernah kami lancarkan sebelum ini, menghubungkan para pengembara ke dua destinasi popular yang mempunyai permintaan kukuh untuk perjalanan dua hala. 

 

Jelasnya, AirAsia telah mengubah landskap pelancongan sejak dua dekad yang lalu, menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan tambang rendah dan berpatutan, menjadikan penerbangan mampu milik untuk semua. 

 

 

airasia

 

 

"21 tahun kemudian, kami melancarkan laluan antarabangsa ketiga kami dari Sarawak ke Singapura dan menerbangkan ratusan ribu pengembara ke negara ini setiap tahun, memberikan peluang untuk sektor pelancongan dan ekonomi negara untuk terus berkembang di rantau ini. 

 

"Ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dan kerjasama yang luar biasa daripada kerajaan negeri Sarawak dan rakan kongsi pelancongan dan industri kami, serta pasukan kami yang berdedikasi di AirAsia.

 

“Pencapaian ini datang pada masa yang tepat kerana dua bulan yang lalu, kami telah menyambung semula operasi di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi dan kini kami bersedia untuk menawarkan lebih banyak penerbangan.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan pemain industri dalam masa terdekat untuk menjayakan laluan ini. Saya menggalakkan para tetamu yang inginkan mendapatkan tawaran bernilai hebat ini untuk membuat tempahan segera dan menerokai bandar-bandar yang indah ini bersama kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mulai Disember, AirAsia bakal meningkatkan kekerapan penerbangannya untuk laluan Kuching-Singapura kepada 11 kali seminggu dan Miri-Singapura kepada 5 kali seminggu. Penerbangan ini tersedia untuk tempahan melalui airasia Super App dan laman web airasia. - DagangNews.com