AirAsia terus beri sokongan kepada program FLYsiswa 2024, terbangkan pelajar ke kampung halaman pada harga berpatutan | DagangNews Skip to main content

AirAsia terus beri sokongan kepada program FLYsiswa 2024, terbangkan pelajar ke kampung halaman pada harga berpatutan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - AirAsia mengesahkan komitmen untuk terus menyokong program FLYsiswa 2024, inisiatif yang didorong oleh Kementerian Pengangkutan bagi memberi peluang kepada pelajar terbang pulang ke kampung halaman pada harga yang berpatutan.

 

E-baucar AirAsia untuk program FLYsiswa boleh digunakan untuk membuat tempahan penerbangan ke 45 laluan di 10 destinasi antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Bharu ke Kota Kinabalu, Sandakan, Kuching, Bintulu, Miri, Sibu dan Labuan. 

 

Ia juga  tersedia untuk tempahan penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

 

Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan komitmen syarikat penerbangan itu untuk menawarkan tambang berpatutan dan rangkaian luas malah membolehkan pelajar mendapat manfaat daripada ekosistemnya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya berbesar hati untuk terus menyokong inisiatif FLYsiswa yang dijangka memanfaatkan kira-kira 50,069 pelajar layak memohon yang berada di universiti awam di seluruh negara. 

 

Beliau berkata, tahun ini pihaknya menerima lebih 23,000 pendaftaran daripada pelajar yang sah iaitu kira-kira 66% daripada 35,995 pelajar yang telah mengemukakan permohonan baucar tersebut dan mereka berbangga kerana AirAsia terus menjadi syarikat penerbangan pilihan.

 

“Pengumuman oleh kementerian pada hari ini tepat pada masanya selari dengan usaha kami untuk mengaktifkan semula lebih banyak pesawat dalam beberapa bulan akan datang. 

 

"Ini akan membolehkan kami meningkatkan kekerapan dan menawarkan tambang yang lebih rendah, seterusnya memberi manfaat kepada para pelajar. Kami mengalu-alukan lebih ramai pelajar untuk terbang pulang dengan kami dengan tambang berpatutan pada tahun hadapan," katanya.

 

Kriteria kelayakan bagi program FLYsiswa ini ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dan ia terbuka kepada pelajar yang mengikuti pengajian tinggi di universiti awam di Malaysia. 

 

Kelayakan termasuk pelajar dari Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan, belajar di Semenanjung Malaysia; pelajar dari Semenanjung Malaysia, belajar di Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan; serta pelajar dari Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan yang belajar di wilayah masing-masing.

 

Proses permohonan E-baucar AirAsia boleh dibuat dalam beberapa langkah mudah dengan menekan butang 'Tebus Sekarang' di airasia.com/aa/flysiswa. 

 

Bagi proses penebusan, hanya masukkan nombor baucar pada halaman pembayaran untuk tempahan penerbangan.- DagangNews.com