Apex Securities ramal Frontken catat perkembangan margin disokong peningkatan permintaan peralatan bernilai tinggi | DagangNews Skip to main content

Apex Securities ramal Frontken catat perkembangan margin disokong peningkatan permintaan peralatan bernilai tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - Apex Securities meramalkan Frontken Bhd mencatatkan perkembangan margin positif disokong peningkatan permintaan peralataan bernilai tinggi daripada pelanggan.

 

Katanya, perkembangan itu juga akan disokong oleh kedudukan kukuh kumpulan itu dalam segmen semikonduktor selain peningkatan pengeluaran di Kilang 2 (jumlah melonjak empat kali ganda pada 4 April 2024 berbanding awal tahun).

 

"Permintaan berdaya tahan dalam segmen minyak dan gas (O&G) selain pemulihan berterusan di Singapura akan terus menyokong trajektori pertumbuhan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 1QFY24  meningkat 30.1% kepada RM30.1 juta tetapi mereka mengalami penurunan dalam margin keuntungan, terutamanya disebabkan oleh cukai pegangan sebanyak RM3.4 juta.

 

Tidak termasuk impak yang disebutkan, untung berish akan menjadi 13% lebih tinggi dari suku tahun ke suku tahun, dengan peningkatan margin sebanyak 1.2 mata.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil tertinggi pada suku tersebut, meningkat sebanyak 23.3% didorong peningkatan permintaan daripada pelanggan semikonduktor dan peningkatan Kilang 2.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan 1QFY24 kumpulan itu mengatasi pencapaian suku sebelumnya walaupun mencatatkan pendapatan lebih rendah secara bermusim dalam tempoh tersebut dibantu oleh hasil daripada Kilang 2.

 

Katanya, sektor O&G  mempamerkan daya tahan lebih tinggi. 

 

"Walaupun berdepan cabaran berterusan di Singapura, kami melihat pemulihan permintaan secara beransur-ansur dan pelarasan harga. Sementara itu, kami dibimbing bahawa perbelanjaan modal bagi FY24 akan berkisar antara RM8 juta hingga RM10 juta," katanya.

 

Apex Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.33 sesaham. - DagangNews.com