Anak meninggal dunia, keperitan menghimpit penoreh getah bersyukur bantuan STR kurangkan tekanan | DagangNews Skip to main content

Anak meninggal dunia, keperitan menghimpit penoreh getah bersyukur bantuan STR kurangkan tekanan

Muhamad Zoher Zahari, penoreh getah di di Kampung Cherok Tok kun, Pokok Sena di Kedah. - Gambar EMIR MUKMIN
Oleh EMIR MUKMIN

 

TAHUN ini benar-benar menghadirkan ujian buat Muhamad Zoher Zahari, 48, sekeluarga apabila dia kehilangan anaknya, Muhammad Iman Muqriz, 15, pada Ramadan lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

 

Ketiadaan Iman Muqriz amat terasa apatah lagi anak bongsu dari dua beradik itu, boleh diibaratkan sebagai 'tangan kanannya' yang sentiasa bersedia membantu bagi mencari rezeki.

 

Tanpa mengabaikan pelajaran, Muhamad Iman turut cekap melaksanakan kerja-kerja di kebun sayur malah sering membantu di kebun getah dipawah Muhamad Zoher, yang menjadi lokasi dia mencari rezeki tambahan.

 

 

 

Namun semua itu kini hanya tinggal kenangan, apatah lagi kebun sayur yang diusahakannya sudah tidak lagi wujud akibat kekurangan modal.

 

 

penoreh
Muhamad Zoher Zahari cekal meneruskan kerjanya sebagai penoreh getah

 

 

"Pada Februari lalu, saya baru saja mengadakan kenduri untuk adik yang melangsungkan perkahwinan. Tidak sampai sebulan selepas itu, Muhammad Iman pula disahkan mengalami jangkitan paru-paru yang menyebabkan kami sekali lagi perlu mengeluarkan belanja agak besar.

 

"Akhirnya Muhammad Iman pergi jua walaupun kami sudah berusaha. Setelah pemergiannya, saya tidak lagi mampu untuk mengeluarkan modal bagi penanaman kebun sayur kerana telah banyak mengeluarkan belanja sebelum itu," katanya.

 

Ketika ini Muhamad Zoher menanggung isteri, anak sulungnya berusia 17 tahun, ibu dan ayah yang telah uzur berumur 66 dan 68 tahun serta dua anak saudara yang masih bersekolah dengan kesemuanya tinggal serumah dengannya di Kampung Cherok Tok kun, Pokok Sena.

 

Selepas ketiadaan Muhammad Iman katanya, dia kini hanya menoreh getah di tanah yang dipawah dari seorang kenalan selain melakukan kerja-kerja kampung seperti mengambil upah menebas kebun.

 

"Isteri pula hanya bekerja sebagai pembantu di kantin sekolah. Oleh itu, pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) oleh kerajaan amat besar maknanya buat kami," katanya.

 

STR sangat bernilai

Akuinya, dia sendiri tidak sedar berapa jumlah wang STR diterimanya setiap tahun namun apabila tiba saja masanya kerajaan memasukkan wang tersebut, mereka sekeluarga sentiasa bersyukur kerana dapat menampung sedikit sebanyak keperluan.

 

"Sesetengah pihak mungkin tidak mengerti betapa besar nilainya pemberian ini buat kami. Sebab itu, kami amat bersyukur apabila kerajaan meneruskan bantuan ini.

 

"STR ini hakikatnya sangat besar maknanya buat kami," katanya.

 

 

penoreh

 

 

Bagi segelintir kita terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar, kisah kehidupan Muhamad Zoher mungkin terasa agak asing kerana tidak ramai insan sekeliling yang berdepan kesukaran bagi mencari nafkah menyara kehidupan.

 

Namun percayalah betapa di ceruk-ceruk kampung, masih ramai lagi insan senasib Muhamad Zoher, yang memerlukan perhatian daripada kerajaan.

 

Maka tidak hairanlah dalam pembentangan Belanjawan 2025 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan tertinggi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melibatkan peruntukan RM13 bilion tahun depan berbanding RM10 bilion sebelum ini.

 

Peningkatan itu akan terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima, bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.

 

Bercakap mengenai peningkatan jumlah STR tahun demi tahun, Muhamad Zoher mengakui bahawa dirinya bukanlah seorang yang terlalu mengerti untuk berbincang mengenai perkara itu.

 

Namun katanya, ada khabar didengar mengenai perkembangan ekonomi negara yang kian baik, di sebalik dakwaan pihak tertentu yang menyatakan sebaliknya.

 

"Kami di peringkat bawah ini tidak terlalu tahu mengenai apa yang berlaku tetapi harap-harapnya, STR dapat terus ditingkatkan jumlahnya jika ekonomi semakin baik.

 

"Sebagai penoreh getah contohnya, pendapatan kami tidak menentu. Malah kalau cuaca sering hujan sekali pun, pendapatan akan terjejas dan bantuan-bantuan kerajaan seperti inilah yang membantu untuk kami membeli barang keperluan termasuk beras," katanya.

 

 

penoreh
Selama ini, kerja menoreh getah dibantu anaknya, Muhammad Iman Muqriz yang meninggal dunia mengejut pada Ramadan lalu. Kini Muhamad Zoher kembali bersendirian ke kebun getah.

 

 

Ketika harapan golongan memerlukan kian meninggi, kemampuan kerajaan untuk memenuhi hasrat itu dengan menambah peruntukan STR serta SARA sebenarnya turut didorong beberapa faktor.

 

Antaranya faktor pertumbuhan yang dilihat stabil dalam kebanyakan ekonomi utama. Ketika ini, ekonomi Malaysia tampak berjaya meneruskan momentum pertumbuhan disokong oleh prestasi memberangsangkan walaupun berdepan cabaran berterusan dalam persekitaran luar.

 

Keadaan itu menunjukkan bahawa asas ekonomi negara berada pada tahap yang kukuh, ditambah keyakinan pelabur terhadap pasaran domestik yang didorong oleh dasar jelas kerajaan, antaranya dengan penyasaran semula subsidi elektrik, dan langkah pengurusan fiskal yang lain.

 

Selain itu, langkah berani kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar sejak Jun lalu turut membantu mengelakkan pembaziran. Ketika ini, subsidi diesel tidak lagi boleh sewenang-wenangnya dinikmati oleh warganegara asing malah telah menurunkan tahap penyeludupan ke paras hampir 50 peratus.

 

Dengan kadar penjimatan berjumlah RM4 bilion setahun, langkah melaksanakan subsidi diesel bersasar itu mampu merealisasikan impian pelbagai golongan termasuk mereka yang berada di bawah, untuk melihat lebih banyak inisatif dan usaha kerajaan dalam membantu rakyat berdepan bermacam cabaran, dewasa ini. - DagangNews.com