Pengalamannya sebagai usahawan selama lebih 40 tahun membuatkan Hawa Abd Rahman, 63, yang berasal dari Terengganu cukup mengenali 'asam garam' dan 'sepak terajang' dunia perniagaan.
Wanita itu memulakan perniagaannya dengan membuka kedai makan pada tahun 1994 di bandar Marang, Terengganu dan mula mengembangkan perniagaan kepada restoran dan katering berbekalkan keuntungan yang diperoleh.
Sedikit demi sedikit, Hawa berani meneroka lebih banyak perniagaan baharu dengan beralih dalam industri pelancongan dengan membuka chalet di pulau peranginan terkenal di Terengganu iaitu Pulau Kapas.
Keberanian itu timbul kerana beliau mendapat banyak sokongan dan bimbingan keusahawanan dari pelbagai agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri Terengganu.
"Saya sentiasa merebut peluang yang disediakan kerajaan sama ada mengikuti seminar berbayar atau percuma dengan tekad mahu menggali ilmu perniagaan sebanyak yang mungkin.
"Seterusnya, dari situlah saya mendapat peluang yang ditawarkan untuk usahawan sama ada dalam bentuk pinjaman atau geran perniagaan.
"Alhamdulillah, jujur saya katakan dengan pengurusan yang cekap oleh agensi berkaitan keusahawanan, ia banyak membantu saya untuk lebih berjaya dalam kedua-dua bidang perniagaan tersebut iaitu kedai makan dan pengusaha pelancongan," katanya ketika ditemui DagangNews.com hari ini.
Selain dua perniagaan tersebut, Hawa terus melangkah maju dengan membuka syarikat baharu iaitu Hamie Industries Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada 1 Disember 2014 sebagai pengeluar produk makanan seperti keropok ikan dan sos.
"Saya sentiasa mahu meluaskan empayar perniagaan dengan menyahut seruan kerajaan dan bertuah kerana berkat sokongan serta bantuan kerajaan, produk keropok kami mampu menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura, Jepun dan China.
"Sebagai usahawan, kita perlu bergerak pantas dengan perubahan teknologi serta permintaan pasaran dengan mengeluarkan produk yang berkualiti tinggi dari segi rasa, tekstur dan nilai pemakanan.
"Selain itu, adalah sangat penting untuk usahawan sentiasa ambil tahu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan untuk memperkasakan ekonomi negara contohnya yang terbaru ialah kerangka ekonomi Madani iaitu idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Konsep Ekonomi Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023 bertujuan mengangkat semula darjat ekonomi Malaysia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Secara terperinci, konsep Ekonomi MADANI adalah ikhtiar menstruktur semula asas ekonomi bagi memacu pertumbuhan, melonjak pelaburan, memperkukuh industri tempatan supaya lebih berdaya cipta dan berdaya saing supaya negara kembali sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia.
Sementara itu, aspek 'menaikkan lantai' adalah meningkatkan darjat kesejahteraan hidup rakyat merangkumi keperluan perlindungan sosial untuk semua, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina masyarakat lebih saksama.
Ini bermakna Ekonomi Madani melihat kemiskinan adalah perkara perlu dilihat dari sudut kekayaan negara dan bagaimana diagihkan semula kepada rakyat dalam taburan adil dan saksama.
Seiring dengan konsep Ekonomi Madani itu, Hawa yang merupakan ibu kepada empat anak telah menubuhkan satu lagi syarikat iaitu Hawra Beauty, yang menawarkan pelbagai produk kecantikan dengan fokusnya mengeluarkan produk kopi dan minuman pra campuran serta perkhidmatan OEM (Original Equipment Manufacturer).
"Kami menawarkan peluang kepada pelanggan untuk mengembangkan produk di bawah jenama sendiri.
"Kilang pemprosesan kami telah menjalani audit yang teliti oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjamin kesahihan status Halal produk kami.
"Selain itu, kami juga mempunyai pengiktirafan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil komitmen kami dalam memastikan setiap produk yang dihasilkan adalah bersih, selamat dan patuh kepada tuntutan agama serta standard kesihatan yang tertinggi," katanya.
Ditanya harapan usahawan terhadap inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerangka Ekonomi Madani pula, Hawa berkata, semua matlamat itu hanya akan tercapai dengan adanya budaya integriti dan tata kelola yang baik dalam sistem perkhidmatan awam.
"Perdana Menteri telah menggariskan matlamat yang jelas dalam rancangan nasional, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
"Semua perancangan itu mempunyai dasar dan strategi yang kukuh, menawarkan hala tuju ekonomi yang lebih jelas dan ia perlu disambut dengan positif oleh semua pihak terutama usahawan," katanya.
Dalam mencapai kesejahteraan rakyat, ada beberapa perkara perlu ditekankan iaitu menangani kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan isi rumah dan inisiatif yang diberikan kerajaan melalui Ekonomi MADANI ini sebagai usaha menambah pendapatan isi rumah, mengurangkan beban dan usaha mengeluarkan mereka daripada kemiskinan tegar.
Meskipun kerangka Ekonomi Madani masih berbaki sembilan tahun lagi untuk direalisasikan, Hawa mengakui banyak sinar positif telah dinikmatinya dalam tempoh setahun ia diperkenalkan.
"Pengurusan pentadbiran yang baik, amanah, berintegriti dan jauh dari rasuah sangat penting untuk mencapai matlamat ini.
"Saya amat teruja dengan kesungguhan yang ditunjukkan Perdana Menteri melalui inisiatif yang diperkenalkan ini dan berharap usahawan muda akan memahaminya secara positif demi masa depan yang lebih gemilang," kata Hawa. - DagangNews.com