KMI Healthcare bukan pemilik atau pengendali Hospital Bersalin Razif, tidak bertanggungjawab sebarang isu | DagangNews Skip to main content

KMI Healthcare bukan pemilik atau pengendali Hospital Bersalin Razif, tidak bertanggungjawab sebarang isu

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Dis - Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) menegaskan, syarikatnya bukanlah pemilik atau pengendali Hospital Bersalin Razif. 

 

Walaupun perjanjian jual beli saham telah ditandatangani pada 23 Oktober 2023, ia belum dimuktamadkan kerana beberapa syarat pra-perjanjian masih gagal dipenuhi. 

 

Sehingga syarat-syarat tersebut dipenuhi dan transaksi selesai, KMI Healthcare tidak mempunyai pemilikan atau tanggungjawab terhadap Hospital Bersalin Razif. 

 

 

"Oleh itu, KMI Healthcare tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang isu operasi atau isu lain yang berkaitan dengan Hospital Bersalin Razif pada masa ini," jelas syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.

 

Syarikat itu berkata, pihaknya kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua urus niaga dan akan memberikan maklumat lanjut apabila perlu.

 

Semalam, tular di media sosial, jenazah bayi lelaki yang dilahirkan di sebuah hospital swasta di Klang, ditahan selama 16 hari dan disimpan di dalam peti beku kerana gagal membayar kos rawatan sebanyak RM3,600 di situ.

 

Menurut satu hantaran di Facebook yang dibuat oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, ibu bayi tersebut juga tidak dibenarkan keluar dari hospital sehingga bayaran dijelaskan. 

 

Wan Cai mendedahkan, bayi lelaki yang diberi nama Adham itu dilahirkan tidak sempurna dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur dan meninggal dunia pada 24 November lalu.

 

Beliau mempersoalkan motif pihak hospital menahan ibu bersama jasad bayi dan mempertikaikan sifat perimanusiaan doktor di hospital terbabit.

 

Wan Cai menjelaskan, pihaknya yang menguruskan bayi itu terpaksa menggunakan air panas yang dicampur air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi-sendi jenazah bayi berkenaan.

 

Walaupun tidak mendedahkan nama hospital secara langsung, banyak hantaran di media sosial menyebut Hospital Bersalin Razif sebagai pihak bertanggungjawab. - DagangNews.com