AirAsia X catat kerugian besar, penganalisis kekal saranan 'underperform' | DagangNews Skip to main content

AirAsia X catat kerugian besar, penganalisis kekal saranan 'underperform'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Public Investment Bank Research mengekalkan saranan 'underperform' ke atas saham AirAsia X Bhd. dengan harga sasaran hanya 1 sen berdasarkan prestasi kewangannya yang buruk. 

 

Setakat 11.47 pagi ini, saham AirAsia X susut 0.05 sen atau 5.56% kepada 8.5 sen dengan 29.68 juta saham diniagakan. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia ini terus berdepan dengan kekangan aliran tunai yang teruk.

 

"Harapan kini terletak kepada sejauh mana penstrukturan hutangnya berjaya dan langkah pelaksanaan dana ekuiti baharu daripada pelabur baharu dan sedia ada untuk menyediakan modal mencukupi bagi menghidupkan semula operasi apabila sempadan antarabangsa dibuka," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

AirAsia X mencatatkan kerugian bersih RM24.63 bilion bagi suku tahun 1 April hingga 30 Jun 2021 berikutan peruntukan jumlah yang perlu dibayar kepada pemiutang.

 

Syarikat itu sedang dalam proses penstrukturan semula hutangnya memperuntukkan RM23.7 bilion, jumlah yang perlu dibayar kepada pemiutang iaitu hutang tertunggak di bawah terma kontrak.

 

Malah, AirAsia X juga sedang menstruktur semula hutang berjumlah RM63.5 bilion kepada pemiutang tidak bercagar menjadi perakuan hutang oleh syarikat penerbangan itu dengan jumlah pokok sehingga RM200 juta.

 

Tanpa peruntukan kepada pemiutang, AirAsia X meraih kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) berjumlah RM58.16 juta, manakala pendapatannya pula berjumlah RM72.26 juta.

 

PublicInvest berkata, meskipun pemegang saham telah meluluskan cadangan penstrukturan hutang pada mesyuarat agung luar biasa (EGM), 1 Jun lalu, tetapi pelaksanaan pengumpulan dana hanya boleh dilaksanakan apabila langkah penstrukturan hutang berjaya dimuktamadkan. 

 

"Bagaimanapun, rundingan terakhir dengan peminjam dan pemiutang masih berjalan dan syarikat berharap dapat mengadakan pertemuan pemiutang pada akhir Oktober ini," tambahnya. - DagangNews.com