AirAsia X kekal dalam kedudukan hibernasi | DagangNews Skip to main content

AirAsia X kekal dalam kedudukan hibernasi

SHAH ALAM 26 Ogos - AirAsia X Berhad mencatatkan penurunan dari segi perolehan sebanyak RM91.4 juta bagi Suku Kedua (2Q20) berakhir 30 Jun lalu, berbanding RM1.01 bilion bagi tempoh sama dicatat pada 2019.

Syarikat penerbangan tambah murah ini kekal di dalam keadaan hibernasi sepanjang 2Q20 dan masih berterusan sehingga ke hari ini, meneruskan operasi kecil menghantar pulang pelawat-pelawat dan mengangkut kargo.

Kapasiti kerusi dan jumlah keseluruhan penumpang yang diangkut semasa Suku Kedua ini ialah masing-masingnya 6,032 dan 2,291 dengan PLF sebanyak 38%.

Angka itu diraih daripada penerbangan yang mengangkut kargo dengan pengambilan kecil penumpang sepanjang bulan April lalu. Pada 2Q20, syarikat mencatat kerugian sebelum faedah, cukai, penurunan dan amotisasi sebanyak RM129.2 juta berbanding perolehan sebelum faedah, cukai, penurunan dan amortisasi sebanyak RM120.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

``Kumpulan mencatat kerugian bersih bagi Suku Kedua sebanyak RM305.2 juta," kata syarikat itu dalam kenyataan di sini.

Di Thailand pula, AirAsia X Thailand mencatat kerugian bersih sebanyak AS$54.2 juta bagi tempoh sama.  - DagangNews.com