AirAsia X kemuka 4 faktor tidak bayar hutang RM78 juta MASSB | DagangNews Skip to main content

AirAsia X kemuka 4 faktor tidak bayar hutang RM78 juta MASSB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - AirAsia X Berhad (AirAsia X) telah mengubah semula skim penstrukturan pinjaman kepada kreditor selepas mendapat tentangan daripada salah satu pemiutangnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Tentangan itu telah disuarakan menerusi surat guaman yang turut menuntut AirAsia X untuk membayar segera hutang bernilai RM78 juta kepada MASSB. 

Hutang itu melibatkan pembayaran caj perkhidmatan pelanggan (PSC) yang tidak pernah dikutip oleh AirAsia X sebelum ini. 

Bagaimanapun, AirAsia X menegaskan sekali lagi bahawa syarikat penerbangan itu tidak mampu memenuhi permintaan MASSB disebabkan faktor-faktor demikian:

i. Isu kesahan skim PSC itu melibatkan perbicaraan mahkamah yang belum selesai dan pendengaran selanjutnya dijadualkan pada 24 Mac 2021. Pelaksaan tindakan undang-undang sekali lagi ini akan bercanggah dengan proses mahkamah. Isu ini sering menjadi perbalahan antara kedua-dua pihak, dan ketika ini tuntutan RM78 juta kelihatannya menjadi sebuah peluang. 

ii. Dengan tuntutan segera pembayaran RM78 juta itu, MASSB menghalang proses penstrukturan semula dan AirAsia X bimbang sekiranya ini menjadi sebuah usaha untuk mendapatkan layanan istimewa dan peluang yang tidak adil serta bercanggah dengan undang-undang berbanding kreditor lain, termasuk ribuan penumpang yang terjejas. 

iii. Walau apa pun, tuntutan RM78 juta telah dimasukkan ke dalam skim penstrukturan Kelas A. Skim ini sesuai dengan kreditor lain dan mengelakkan sebarang layanan istimewa kepada MASSB. 

iv. MASSB menerusi peguam-peguamnya juga telah mengancam untuk mengambil tindakan sivil dan jenayah pecah amanah (CBT) terhadap pengarah-pengarah AirAsia X melibatkan keupayaan peribadi mereka ke atas PSC yang tidak dikutip. Lembaga AirAsia X menafikan bahawa terdapat sebarang elemen CBT berhubung PSC terutamanya apabila PSC tidak pernah dikutip daripada penumpang.

“AirAsia X juga berhasrat untuk memaklumkan bahawa kreditor utama telah menunjukkan kematangan, profesionalisme, penglibatan konstruktif dan realisme komersial tinggi berhubung langkah penstrukturan ini. 

“AirAsia X menggesa MASSB, yang mungkin menjadi salah satu penerima manfaat terbesar daripada giat semula AirAsia X, untuk membenarkan pengundian dilaksanakan tepat pada masanya oleh semua pemiutang untuk menyelesaikan penstrukturan pinjaman supaya syarikat penerbangan ini dapat beroperasi semula dan terus memberikan perkhidmatan awam yang penting kepada rakyat Malaysia,” kata AirAsia X dalam satu kenyataan. 

Susulan tentangan berkenaan, AirAsia X telah meletakkan MASSB ke dalam Kelas A yang terdiri daripada kreditor penting dan diberikan jaminan atau hak.

Kelas B pula melibatkan pemiutang yang tidak tergolong dalam Kelas A. - DagangNews.com