AirAsia X sambung semula penerbangan Sydney-Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

AirAsia X sambung semula penerbangan Sydney-Kuala Lumpur

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - AirAsia X (AAX) meraikan penyambungan semula perkhidmatannya dari Sydney dan mengalu-alukan ketibaan penerbangan ke Kuala Lumpur dengan faktor muatan sebanyak 61%, baru-baru ini.

 

Acara sambutan itu menandakan penyambungan semula perkhidmatan komersialnya secara rasmi dari/ke Australia berikutan pandemik.

 

Perkhidmatan dua kali seminggu itu juga bakal menghubungkan Auckland, New Zealand mulai 7 November tahun ini serta mempunyai rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada kepada penerbangan harian menjelang suku pertama tahun hadapan bagi memenuhi permintaan kukuh yang semakin meningkat. 

 

AirAsia X juga bakal menyambung semula penerbangan terus ke Melbourne dan Perth bermula awal November ini.

 

Sempena meraikan penyambungan semula perkhidmatan itu, AirAsia X menawarkan tambang termasuk semua bernilai hebat dari Sydney ke Kuala Lumpur atau sambungan ke destinasi lain daripada AUD$239 untuk tempat duduk ekonomi sehala atau tetamu boleh memilih untuk menempah Premium Flatbed daripada AUD$899 sehala.

 

Perkhidmatan baharu dari/ke Sydney itu kini tersedia untuk tempahan melalui ikon ‘Flights’ di airasia Super App atau melalui laman web. Jualan ini adalah sah untuk tempoh perjalanan antara sekarang dan 28 Oktober 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata,  Australia merupakan antara pasaran utama mereka, dan berbesar hati untuk kembali menyambung perkhidmatan ke negara itu serta menghubungkan para tetamu antara Sydney dan Kuala Lumpur dengan tambang bernilai hebat. 

 

 

airasia

 

 

Beliau berkata, mereka turut teruja untuk mengalu-alukan 230 orang tetamu ke Malaysia dari Sydney dan menghubungkan mereka dengan rangkaian luas AirAsia seperti India, Indonesia dan lain-lain. 

 

“Kami juga menghargai usaha pihak kerajaan Australia kerana telah mempercepatkan proses visa kepada pelancong untuk mengukuhkan lagi pemulihan industri pelancongan. Kami juga berterima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia kerana telah membuka sempadan negara tanpa sebarang sekatan perjalanan yang akan merangsang pemulihan ekonomi negara.

 

“Kami akan terus menyemak rangkaian penerbangan sedia ada dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat di beberapa pasaran utama lain dengan penambahan perkhidmatan dalam masa terdekat. 

 

"Kami berharap penyambungan semula perkhidmatan ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada para tetamu kami, malah akan memacu pemulihan industri pelancongan kedua-dua buah negara secara keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

airasia

 

 

Pengurus Besar Penerbangan Lapangan Terbang Sydney, Rob Wood berkata, mereka berbesar hati kerana AirAsia X telah menyambung semula perkhidmatan popular antara Sydney dan Kuala Lumpur di samping berusaha untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan ke seluruh Malaysia.

 

“Setelah dua tahun mengalami sekatan perjalanan akibat COVID-19, kami pasti perkhidmatan ini bakal mendapat sambutan yang baik oleh para pelancong yang ingin terbang ke antara bandar paling popular di Malaysia dengan tambang bernilai hebat," katanya.

 

Australia kekal sebagai pasaran utama bagi Kumpulan AirAsia X. Thai AirAsia X juga baru-baru ini telah mengumumkan perkhidmatan penerbangan terus baharu antara Bangkok (Suvarnabhumi) dan Melbourne serta Sydney buat pertama kali, mulai 1 dan 2 Disember 2022. - DagangNews.com