AirAsia yakin permintaan kukuh penerbangan dari Beijing, Macau ke Kota Kinabalu, catat muatan lebih 90% penumpang | DagangNews Skip to main content

AirAsia yakin permintaan kukuh penerbangan dari Beijing, Macau ke Kota Kinabalu, catat muatan lebih 90% penumpang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - AirAsia yakin laluan baharu yang dilancarkan antara Kota Kinabalu dan Beijing serta Macau akan terus mendapat permintaan kukuh daripada para pelancong, berikutan penerbangan sulungnya ke destinasi tersebut mencapai faktor muatan mengagumkan sebanyak lebih daripada 90%.

 

Syarikat tambang murah itu berkata, penerbangan sulung dari Beijing pada 2 Julai 2023 mencatatkan seramai 172 penumpang (92%) dan penerbangan sulung dari Macau semalam mengalu-alukan seramai 169 penumpang (93%). 

 

Katanya, kedua-dua perkhidmatan baharu ini menunjukkan permintaan ketara untuk laluan ini dan syarikat penerbangan itu menjangkakan jumlah tersebut akan turut menyamai laluan dari Kota Kinabalu.

 

"Syarikat penerbangan jarak pertengahan AirAsia, AirAsia X juga mencatatkan faktor muatan luar biasa untuk penerbangan pertamanya dari Chengdu (Tianfu) ke Kuala Lumpur pada 1 Julai 2023 dengan 376 penumpang (99%). 

 

"Berdasarkan permintaan pada masa hadapan yang semakin meningkat, AAX telah meningkatkan kekerapan penerbangan ini daripada dua kali seminggu kepada tiga kali seminggu baru-baru ini.

 

"Faktor muatan yang luar biasa ini adalah bukti komitmen AirAsia untuk memacu semula industri pelancongan tempatan dan serantau. 

 

"Ia juga merupakan usaha berterusannya untuk mengembangkan jejak di pasaran China sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar dengan sambungan dan kapasiti terbanyak di negara itu," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

airasia

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya berbangga untuk terus menyumbang kepada industri pelancongan di Sabah. 

 

Beliau berkata, Kota Kinabalu sentiasa menjadi hab penting mereka dan pertumbuhan rangkaian di Sabah memainkan peranan penting dalam strategi pemulihan pihaknya.

 

Katanya, pada masa ini pihaknya mengendalikan 21 laluan domestik dan antarabangsa ke negeri ini dengan sejumlah 300 penerbangan mingguan ke/dari Sabah, termasuk penambahan penerbangan harian ke/dari Beijing dan empat penerbangan mingguan ke/dari Macau.

 

 

airasia

 

 

"Mulai 1 Januari hingga minggu pertama bulan Julai pada tahun ini, kami telah menerbangkan lebih 2.1 juta pengembara ke Sabah. 

 

"Dengan tambahan perkhidmatan penerbangan secara terus ini, kami jangka jumlah tersebut akan terus meningkat, seterusnya menyumbang kepada jumlah ketibaan pelancong secara ketara serta meningkatkan ekonomi di negeri itu secara keseluruhan.

 

"Selain itu, dengan permintaan kukuh untuk lebih banyak penerbangan ke China dari hab ini, kami berharap dapat meningkatkan kekerapan dan menambah lebih banyak laluan pada masa hadapan. - DagangNews.com