Airbnb lancar Kod Tatakelakuan, Talian Sokongan Kejiranan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Airbnb lancar Kod Tatakelakuan, Talian Sokongan Kejiranan di Malaysia

Ketua Dasar Awam untuk Asia Tenggara Airbnb, Mich Goh

 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Airbnb melancarkan Kod Tatakelakuan (Code of Conduct) pertama yang diterajui oleh industri di Malaysia untuk penginapan sewaan jangka pendek, beserta perluasan Talian Sokongan Kejiranannya ke Malaysia. 

 

Pengumuman ini dibuat seiring dengan sektor pelancongan yang beransur pulih di lebih banyak negeri fasa kedua di bawah Pelan Pemulihan Negara. 

 

Ketua Dasar Awam untuk Asia Tenggara Airbnb, Mich Goh berkata, inisiatif yang dilancarkan itu memperkukuhkan komitmen berterusan Airbnb untuk mengalakkan pelancongan yang lebih bersih, selamat dan bertanggungjawab bagi menyokong industri pelancongan yang akan bangkit semula. 

 

Katanya, Kod Tatakelakuan ini direka untuk membantu memastikan setiap penginapan merupakan pengalaman yang positif untuk hos, tetamu dan komuniti yang lebih luas manakala Talian Sokongan Kejiranan setempat bertujuan memberi ketenangan fikiran tambahan kepada komuniti.

 

"Airbnb komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi membina semula sektor pelancongan dan memberi sumbangan positif kepada pemulihan ekonomi Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Kod Tatakelakuan ini akan disiarkan di halaman Menjadi Hos Bertanggungjawab Airbnb dan garis panduan tingkah laku tetamu yang bertanggungjawab akan dimaklumkan kepada semua tetamu Airbnb di Malaysia sebelum penginapan mereka. 

 

Di samping itu, Airbnb telah bekerjasama dengan Malaysian Vacation Rental Services Management Association (MVR) untuk membantu mendidik ahli-ahlinya tentang Kod Tatakelakuan tersebut.

 

Airbnb turut memperluaskan Talian Sokongan Kejiranannya ke Malaysia, sekali gus memudahkan lagi ahli komuniti untuk menyuarakan kebimbangan mengenai penyenaraian berhampiran dengan Airbnb secara terus. 

 

Dengan kemaskini ini, jiran-jiran boleh melawat airbnb.com.my/neighbors untuk meminta panggilan dengan ejen sokongan khas dalam Bahasa Melayu, yang menyediakan saluran 24 jam seminggu yang mudah diakses untuk melaporkan kebimbangan kepada pasukan tindak balas pantas.

 

Sementara itu, Presiden MVR, Ivan Chong percaya bahawa pelancongan yang selamat dan bertanggungjawab adalah kunci utama untuk industri pelancongan dapat kembali pulih secara lestari dan untuk jangka panjang. 

 

Katanya, Kod Tatakelakuan Airbnb menetapkan standard yang tinggi untuk penginapan sewaan jangka pendek serta penyedianya, dengan menyediakan garis panduan dan amalan terbaik yang jelas untuk pemilik, hos dan tetamu. 

 

"MVR sudah mengamalkan tahap tanggungjawab yang tinggi dalam penyenaraian yang kami uruskan, dan menandatangani Kod Tatakelakuan ini adalah salah satu lagi cara untuk kami membuktikannya," jelasnya. - DagangNews.com