Airbnb, PLANMalaysia jalin kerjasama kongsi input garis panduan penginapan sewaan jangka pendek | DagangNews Skip to main content

Airbnb, PLANMalaysia jalin kerjasama kongsi input garis panduan penginapan sewaan jangka pendek

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Airbnb bekerjsama dengan PLANMalaysia bagi berkongsi input industri dan amalan terbaik global mengenai garis panduan penginapan sewaan jangka pendek (STRA) nasional melalui rundingan awam.

 

PLANMalaysia membangunkan garis panduan STRA nasional pada awal tahun ini bagi mewujudkan pendekatan seragam pengurusan di seluruh negara. 

 

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Dr. Alias Rameli berkata, di negara ini, aktiviti sewaan jangka pendek adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. 

 

"Sejak Januari tahun ini, PLANMalaysia telah diamanahkan untuk menggubal Garis Panduan STRA sebagai sumber rujukan yang seragam bagi semua pihak terlibat dalam ekosistem itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

PLANMalaysia telah menjalankan satu siri perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan persekutuan, pihak berkuasa negeri dan tempatan, platform pelancongan dalam talian dan pengusaha hotel.

 

airbnb
Mich Goh

 

Satu tinjauan dalam talian dari Mei hingga Jun 2023 telah dijalankan bagi mengumpul pandangan orang ramai, pihak berkepentingan industri dan pemilik bangunan. PLANMalaysia juga telah menganjurkan dua perbincangan kumpulan fokus. 

 

“Kami telah menyelesaikan Perundingan Awam Bersepadu (UPC) untuk draf garis panduan pada September tahun ini, dan tidak sabar untuk membentangkannya kepada pihak berkuasa yang relevan pada hujung tahun ini,” katanya.

 

Ketua Dasar Awam Airbnb Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan PLANMalaysia dalam memberikan maklum balas semasa perundingan industri bagi garis panduan nasional untuk STRA. 

 

Beliau berkata, apabila diluluskan, garis panduan ini akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, sekali gus menonjolkan dinamik Malaysia dalam menerima teknologi dan inovasi dalam industri pelancongan.

 

“Menurut laporan Oxford Economics baru-baru ini, Airbnb menyumbang lebih RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menyokong hampir 57,000 pekerjaan pada 2022.

 

"STRA menyediakan pelbagai penginapan untuk pelbagai jenis pelancong dan merupakan sumber pendapatan penting untuk ramai rakyat Malaysia. Industri ini perlu dikawal selia secara seimbang dan cekap, disebabkan peranan pentingnya dalam pelancongan dan pertumbuhan ekonomi," katanya. - DagangNews.com