Airbus, MAG meterai MoU laksanakan kajian menyeluruh pelepasan karbon | DagangNews Skip to main content

Airbus, MAG meterai MoU laksanakan kajian menyeluruh pelepasan karbon

Philip See (kiri) dan Julie Kitcher ketika memeterai MoU antara Airbus dan MAG di Singapura.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - Airbus dan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, memulakan usaha kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan menjalankan kajian menyeluruh tentang pelepasan karbon kumpulan penerbangan tersebut. 

 

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, kajian dengan Airbus akan mengukuhkan momentum pihaknya untuk menjadikan unit penerbangan MAG lebih mampan. 

 

Katanya, sejak pelancaran Pelan Tindakan Kelestarian MAG pada 2021, pihaknya komited untuk menggalakkan pembangunan sosioekonomi dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. 

 

"Kerjasama dengan Airbus ini adalah sebahagian daripada inisiatif itu, dan melalui kajian itu, MAG akan lebih tersedia untuk memenuhi tanggungjawab terhadap alam sekitar dan memperkasakan komuniti global yang dilayaninya," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, MoU tersebut dimeterai oleh See dan Ketua Pegawai Kelestarian Airbus, Julie Kitcher menjelang pertunjukan udara di Singapura.

 

Kitcher pula berkata, pihaknya komited untuk mempelopori penerbangan mampan dan MoU itu mempamerkan komitmen merekaw untuk meningkatkan pembangunan dan penggunaan alat penyahkarbonan seperti Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dan Penyingkiran Karbon Dioksida (CDR).

 

Katanya, Airbus dan Malaysia Airlines mempunyai hubungan yang telah lama terjalin, yang akan bertambah erat apabila mereka meraikan penghantaran pesawat berbadan lebar A330neo baharu akhir tahun ini. 

 

"Perjanjian ini bukan sahaja akan menyediakan asas yang sangat baik untuk peta jalan kelestarian MAG, tetapi juga untuk Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas," katanya.

 

Sementara itu, Airbus berkata, langkah itu menandakan permulaan kemitraan selama dua tahun antara kedua-dua entiti tersebut, khusus untuk meneroka pelbagai cara untuk penyahkarbonan dalam operasi MAG. 

 

Katanya, MoU antara Airbus dan MAG merangkumi lima bidang tumpuan utama, termasuk SAF, CDR, penilaian implikasi kewangan yang berkaitan dengan pengurangan CO2, ramalan dan perancangan senario dan usaha advokasi dan komunikasi bersama.

 

"Satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan dan wakil daripada Airbus dan MAG terlibat dalam perbincangan yang meluas mengenai strategi penyahkarbonan yang direka khas mengikuti keperluan unik kumpulan syarikat penerbangan tersebut," katanya. - DagangNews.com