Akibat banjir, Westports dijangka catat untung bersih lebih rendah pada Q4 - CGS CIMB  | DagangNews Skip to main content

Akibat banjir, Westports dijangka catat untung bersih lebih rendah pada Q4 - CGS CIMB 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - CGS-CIMB Research mengurangkan unjuran volum kontena Westports Holdings Bhd. bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 3% kepada 10.37 juta teus berbanding anggaran sebelum ini, 10.69 juta teus berikutan impak daripada banjir yang melanda kawasan Lembah Klang hujung minggu baru-baru ini. 

 

Meskipun, kemudahan konvensional dan kontena di Westports, Pelabuhan Klang tidak terjejas akibat banjir kilat pada 17 dan 18 Disember, tetapi situasi itu menyebabkan sebahagian pekerja tidak dapat melaporkan diri. 

 

Ini memberi kesan kepada produktiviti dan kelewatan berlabuh sekali gus menghalang syarikat daripada mencapai pertumbuhan satu digit bagi tahun ini. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap berkata, banjir itu berlaku pada ketika aktiviti pelabuhan sepatutnya sibuk menjelang tahun baharu. 

 

Namun, katanya, kadar pemprosesan kontena di Westports sememangnya lebih rendah bagi suku ke suku disebabkan isu kesesakan di kawasan kontena yang tidak berkurangan sejak penggunaan melebihi 90% pada suku kedua 2021.

 

"Dengan banjir pula menjejaskan operasi dalam tempoh 2 minggu terakhir Disember, kadar pemprosesan ini akan terus menurun," katanya dalam nota kajian.

 

 

Baca : Banjir tidak jejaskan kemudahan konvensional, kontena Westports

 

 

Westports memaklumkan setakat 18 Disember 2021, jumlah pengendalian kontena adalah 10.12 juta unit bersamaan 20 kaki.

 

Malah, syarikat juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan peserta industri yang lain bagi mengurangkan kesan buruk dan memastikan operasi tidak terganggu. 

 

Susulan impak ini, Yap mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY21 sebanyak 4% memandangkan anggaran volum kontena dikurangkan akibat kesesakan kawasan kontena dan banjir kilat yang akan menjejaskan kadar pemprosesan pada hujung tahun ini.

 

"Ramalan EPS teras bagi FY22 hingga FY23 juga dikurangkan sebanyak 8% kerana kami mengurangkan anggaran volum kontena sebanyak 5% untuk kedua-dua tahun, disebabkan kesesakan pelabuhan global yang berterusan," jelasnya.

 

Menurut beliau, sebelum ini, kesesakan kawasan kontena menyumbang kepada hasil penyimpanan lebih tinggi, sekali gus dapat membantu mengurangkan pemprosesan volum kontena yang perlahan akibat kesesakan tersebut. 

 

Bagaimanapun, katanya, kesan ini sebahagian besarnya tidak akan berlaku pada suku keempat kerana kawasan kontena Westports telah mencapai penggunaan 100% pada Jun 2021. 

 

"Oleh itu, sebarang penurunan pemprosesan kontena pada suku keempat disebabkan kesesakan kawasan tersebut dan diburukkan dengan banjir, tidak mungkin diimbangi dengan hasil simpanan yang lebih tinggi. 

 

"Ini bermakna untung bersih teras suku keempat kemungkinan akan menanggung sepenuhnya kesan pemprosesan yang menurun suku ke suku tanpa sebarang pengimbangan positif yang lain. 

 

"Dalam hal ini, kami menyemak semula untung bersih teras lebih rendah pada suku keempat ini kepada RM149 juta (-16.6% bagi suku ke suku; -16% tahun ke tahun) daripada RM180 juta sebelum ini," katanya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengulangi saranan 'pegang' terhadap Westports, tetapi menyemak semula harga sasaran lebih rendah kepada RM3.80 daripada RM4.14 sebelum ini disebabkan pengurangan sebanyak 8 hingga 9% anggaran aliran tunai dalam tempoh jangka panjang. 

 

Setakat 9.35 pagi ini, saham Westports menokok 1 sen atau 0.27% kepada RM3.77 dengan 387,400 saham diniagakan. - DagangNews.com