Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov - Pelaksanaan Cukai Makmur dan kemungkinan kadar dasar semalam (OPR) dinaikkan 25 mata atas pada pertengahan 2022 dijangka mempengaruhi untung bersih Public Bank Bhd.
Melihat kepada faktor ini, penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng mengurangkan unjuran untung bersihnya bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 10.1% disebabkan Cukai Makmur tetapi untung bersihnya bagi FY23 meningkat 1.5% (didorong kenaikan OPR).
Malah, katanya, unjuran dividen sesaham (DPS) juga berkurangan sebanyak 10.1% kepada 14 sen (hasil dividen 3.5%).
"Berikutan perubahan unjuran hasil ini, kami kini menjangkakan untung bersih Public Bank akan susut 1.4% pada FY22 berbanding pertumbuhan 9.6% yang kami anggarkan sebelum ini dengan sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan Cukai Makmur.
"Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan untung bersih bagi FY23 meningkat daripada 9.4% sebelum ini kepada 23.5% berikutan asas rendah pada FY22 (disebabkan unjuran pengurangan pendapatan)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.
Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.
Ng berkata, untung bersih Public Bank telah terjejas sejak tercetusnya wabak COVID-19 ekoran pelbagai langkah bantuan semula pembayaran yang disediakan kepada para peminjam.
Ini termasuklah pelepasan faedah ke atas pinjaman bermula 1 April hingga 30 September 2020 yang menyebabkan kerugian pengubahsuaian sebanyak RM494.8 juta bagi Public Bank.
Bagi pengecualian 3 bulan faedah kepada peminjam B50 pada suku keempat 2021 dan separuh pertama 2022 pula, katanya, ia dianggar memberi negatif impak kepada Public Bank sebanyak RM115.7 juta.
"Pada masa sama, hasil pendapatan Public Bank juga akan terjejas dengan Cukai Makmur. Untuk menggambarkan risiko daripada sebarang langkah tambahan yang boleh menurunkan pendapatannya, kami mengaitkan diskaun 10% kepada nilai model diskaun dividen (DDM) kami untuk saham tersebut.
"Ini membawa kepada penurunan harga sasaran (TP) berasaskan DDM kami daripada RM4.80 kepada RM4.60 walaupun melancarkan TP kami hingga akhir 2022," jelasnya.
Namun, CGS-CIMB masih mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Public Bank kerana ia paling berdaya tahan terhadap risiko kredit daripada pandemik COVID-19.
"Ia disokong dengan kedudukan kualiti aset yang kukuh dalam sektor perbankan dengan nisbah susut nilai pinjaman kasar (GIL) hanya 0.35% dan perlindungan kerugian tertinggi sebanyak 275.1% setakat akhir Jun 2021.
"Tetapi, pemangkin kepada penarafan semula bergantung kepada peningkatan yang lebih kecil dalam GIL berbanding pemain industri lain sekiranya berlaku kemerosotan kualiti aset seluruh industri pada 2022," tambahnya.
Setakat 10.07 pagi ini, saham Public Bank susut 2 sen atau 0.5% kepada RM4.02 dengan 2.73 juta saham diniagakan. - DagangNews.com