AKPK sedia tawar pelan pembayaran balik pinjaman | DagangNews Skip to main content

AKPK sedia tawar pelan pembayaran balik pinjaman

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia untuk menawarkan beberapa pelan pembayaran balik pinjaman yang bersesuaian dengan komitmen kewangan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, inisiatif itu disediakan kepada pelanggan yang menerima cadangan bank yang tidak memenuhi komitmen kewangan secara menyeluruh atau sudah mempunyai beberapa pinjaman daripada bank.

"Para pelanggan boleh mendapatkan nasihat dan bantuan secara bebas dari pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sekiranya cadangan dari pihak bank tidak memenuhi komitmen kewangan mereka secara menyeluruh ataupun mereka sudahpun mempunyai  beberapa pinjaman dari bank.  

"Pihak AKPK akan mempertimbang komitmen kewangan mereka secara menyeluruh dan seterusnya menyediakan beberapa pelan pembayaran balik pinjaman yang sesuai bagi keputusan pelanggan," jelas beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya, AKPK turut menyediakan khidmat kaunseling dan pendidikan dalam pengurusan kewangan secara berhemat.

Azaddin Ngah Tasir
Azaddin Ngah Tasir

 

Perkhidmatan tersebut akan membantu para pelanggan untuk meningkatkan produktiviti mereka di tempat kerja dan seterusnya memberikan ketenangan minda apabila situasi kewangan terkawal.

AKPK turut menyarankan agar orang ramai mengambil langkah proaktif dalam menilai keadaan kewangan semasa dan masa hadapan susulan tempoh moratorium secara automatik bakal berakhir pada 30 September 2020.

Ujar beliau, pelanggan yang menjangkakan akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman perlu menghubungi pihak bank masing-masing sebelum tempoh moratorium tamat.

"Terdapat pelbagai pilihan bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar bagi membantu para pelanggan untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

"Antaranya ialah mengurangkan jumlah komitmen bulanan, melanjutkan jadual pembayaran balik pinjaman dan/atau menukar syarat-syarat pembiayaan bagi menyesuaikan diri mereka dengan situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini," katanya lagi.

Moratorium pertama mula diperkenalkan selama enam bulan bermula April dan dijangka tamat pada 30 September ini.

Namun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan tempoh pinjaman atau moratorium dilanjutkan lagi selama tiga bulan hingga Disember 2020 bagi individu yang masih hilang punca pendapatan atau perusahaan yang menghadapi krisis kewangan.

Keputusan tersebut diambil selepas pihak kerajaan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM). - DagangNews.com