Akses kepada geran, moratorium disyor MPN mampu bantu PMKS | DagangNews Skip to main content

Akses kepada geran, moratorium disyor MPN mampu bantu PMKS

KUALA LUMPUR 25 Okt - Pengusaha syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melihat syor peningkatan akses kepada geran dan pinjaman serta moratorium bersasar bagi mengatasi masalah aliran tunai dikemukakan Majlis Pemulihan Negara (MPN), mampu membantu sektor perniagaan bertahan dan berkembang.

 

Pengarah Lakuna Resources, Rosyanti Ismail, 39, berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada usahawan untuk menampung kos operasi selepas berdepan pandemik COVID-19, selain ketidaktentuan ekonomi dunia yang dijangka pada tahun depan.

 

“Dalam keadaan ekonomi hari ini dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik, harga barang dan kos bahan mentah meningkat, membuatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika berbelanja dan keadaan ini jika berlanjutan tidak mustahil akan menjejaskan perniagaan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.


 

rosyanti ismail
Rosyanti Ismail, pemilik KOMe Koffee. - Gambar Bernama

 


Mengambil kira situasinya sebagai pengusaha kilang makanan yang beroperasi sejak 2008, Rosyanti mengakui perniagaan dalam sektor itu kurang terjejas, namun menurutnya akses kepada geran, pinjaman dan moratorium membolehkan perniagaannya berkembang, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai.

 

Beliau yang turut membuka dua cawangan kafe KOMe Koffee tahun ini berkata langkah itu dapat membantu dari segi menampung kos pemasaran produk antaranya kek, pastri dan biskut.

 

Rosyanti berhasrat meluaskan pasaran produknya dengan menembusi pasar raya besar di dalam negara.

 

Selain inisiatif itu, resolusi Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial MPN yang berlangsung pada 13 Oktober lepas antaranya turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenal insentif bagi tujuan ketersediaan digital PMKS untuk meningkatkan produktiviti.

 

Resolusi itu juga menekankan kepada aspek kuantiti dan kualiti pendidikan negara serta meningkatkan kemahiran dalam kalangan rakyat dengan penumpuan ke arah digitalisasi dan teknologi tinggi.

 

Juruteknik Kasim Taib, 54, berkata usaha meningkatkan kemahiran digitalisasi dan teknologi tinggi dalam kalangan golongan muda perlu diberikan perhatian serius demi masa depan mereka.

 

Bapa kepada tiga anak berusia 15 hingga 23 tahun itu berkata dari segi pendidikan khususnya di peringkat institut pengajian tinggi, kerajaan perlu mengambil kira bidang yang mempunyai jaminan masa depan dan diperlukan industri dalam tempoh masa panjang.

 

MPN

 

 

“Program yang ditawarkan mestilah bersesuaian dengan keadaan semasa dan telah dibuat penelitian bahawa ia diperlukan untuk jangka masa panjang kerana kita bimbang berlakunya lambakan pekerja dan pengangguran,” katanya. - DagangNews.com