KUALA LUMPUR 16 Jan - Sektor utiliti diramal terus berkembang maju pada tahun ini disokong peningkatan permintaan seiring perkembangan ekonomi negara, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Katanya, YTL Power International Bhd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) merupakan syarikat di bawah liputannya yang mencatatkan keuntungan.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor itu mendapat manfaat apabila rangka kerja Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) asas aset terkawal (RAB) kekal utuh.
Katanya, sektor itu juga akan memanfaatkan pembangunan pusat data, pelancaran tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perbelanjaan modal TNB, dengan kitaran perbelanjaan modal (capex) baharu yang diluluskan sehingga RM42.8 bilion di bawah tempoh kawal selia keempat (RP4).
ICPT merupakan mekanisme di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) yang diluluskan oleh kerajaan dan dilaksanakan sejak 1 Januari 2014, yang membolehkan TNB, sebagai utiliti, mencerminkan perubahan dalam bahan api dan kos berkaitan penjanaan lain dalam tarif elektrik.
"Pelaksanaan ICPT, yang berlaku setiap enam bulan, akan mencerminkan kos sebenar dalam tarif dalam bentuk sama ada rebat atau surcaj.
"Tambahan pula, kesan pelaksanaan ICPT adalah neutral terhadap TNB dan tidak akan memberi kesan kepada operasi perniagaan dan kedudukan kewangannya," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB Research berkata, penstabilan harga bahan api komoditi telah meningkatkan kebolehlaksanaan pendapatan bagi sektor itu.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" untuk YTL Power International dengan harga sasaran (TP) RM7 sesaham kerana percaya penilaiannya kekal tidak menuntut berbanding rakan setaranya, dengan pertumbuhan pendapatan berterusan melalui pusat data dan infrastruktur Awan kecerdasan buatan (AI) (disokong oleh Nvidia Corp), serta metrik yang menguntungkan untuk Wessex Water baharu RP2025-2030.
"Kami yakin dengan keupayaan YTL Power International untuk melancarkan pusat data AI dalam garis masa berpandu, walaupun berlakunya ketidakstabilan geopolitik," katanya.- DagangNews.com