KUALA LUMPUR 16 Jan - Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) melantik Wan Razali Wan Zulkifli dan Wan Amir Hisyam Wan Zakariah masing-masing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat, berkuat kuasa 15 Januari 2025.
AZRB pada masa sama, turut mengumumkan penetapan semula jawatan Datuk Seri Wan Zakariah Wan Muda, daripada Pengarah Urusan Kumpulan kepada Timbalan Pengerusi Eksekutif, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
“Wan Razali, 36, membawa lebih 12 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan, operasi dan pengurusan merentasi beberapa lokasi.
"Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Eksekutif Operasi di bahagian kejuruteraan dan pembinaan kumpulan, setelah memegang pelbagai jawatan dalam operasi bahagian tersebut selama tujuh tahun,” menurut syarikat dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, Wan Amir, 33, sebelum ini adalah pengurus kanan di bahagian konsesi AZRB dan terlibat secara aktif dalam pelbagai cadangan projek konsesi serta pelaksanaan projek dalam kumpulan.
“Lembaga pengarah percaya, Wan Razali dan Wan Amir akan membawa pemikiran yang berorientasikan masa depan, dengan keupayaan untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti, melalui pengenalan idea, perspektif dan kemahiran baharu untuk pertumbuhan masa depan kumpulan,” tambah syarikat tersebut. - DagangNews.com