Sekatan eksport cip AI oleh Amerika Syarikat, Malaysia ambil pendekatan tunggu dan lihat | DagangNews Skip to main content

Sekatan eksport cip AI oleh Amerika Syarikat, Malaysia ambil pendekatan tunggu dan lihat

Gambar Sahand Babali/Unsplash

KUALA LUMPUR 16 Jan - Cadangan sekatan eksport terhadap cip kecerdasan buatan (AI) oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), tidak akan memberi kesan kepada pusat data sedia ada di Malaysia.

 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, kerajaan akan mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat bagi menilai kesan sekatan tersebut terhadap perjanjian pada masa depan.

 

"Kami akan berhubung secara dalaman dengan pihak berkepentingan. Kami juga akan berunding dengan pentadbiran AS yang akan datang untuk memahami pelaksanaan peraturan ini," katanya kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada Forum CEO Series: Ekonomi & Perniagaan 2025 hari ini, seperti laporan Bernama. 

 

Mengulas mengenai laporan tentang cadangan sekatan eksport cip AI oleh AS, beliau menyatakan, Malaysia dan negara-negara lain yang dikategorikan sebagai Tahap 2 mempunyai strategi untuk menangani situasi berkenaan.

 

"Kami akan mengambil peluang untuk berunding dengan pentadbiran AS yang akan datang," jelasnya.

 

Isnin lalu, AS mengumumkan peraturan baharu bertujuan mengawal akses negara-negara lain kepada cip AI dan teknologi yang direka oleh negaranya.

 

Malaysia, yang diklasifikasikan sebagai negara Tahap 2, dibenarkan mengimport hanya 50,000 GPU dalam tempoh dua tahun, dengan pengendali pusat data dihadkan untuk menggunakan maksimum 7% daripada kapasiti pengkomputeran mereka di mana-mana negara Tahap 2.

 

Industri semikonduktor menyumbang kira-kira satu perempat daripada jumlah keluaran dalam negara kasar Malaysia. 

 

Sektor elektrik dan elektronik (E&E) mewakili sekitar 40% daripada eksport Malaysia, menjana pendapatan RM575 bilion pada 2023.

 

Destinasi eksport utama Malaysia untuk produk E&E pada 2023 termasuk Singapura, yang menyumbang 18.6% daripada eksport, diikuti oleh AS (16.3%), China (15.2%), Hong Kong (13.1%), Kesatuan Eropah (8.5%) dan Taiwan (4.9%).

 

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1959, peraturan produk langsung asing (FDPR) membenarkan AS mengawal eksport barangan buatan asing yang dihasilkan menggunakan teknologi atau perisiannya. - DagangNews.com