SC Estate Builder meterai MoU bagi pembangunan projek sisa kepada tenaga di Kota Kinabalu | DagangNews Skip to main content

SC Estate Builder meterai MoU bagi pembangunan projek sisa kepada tenaga di Kota Kinabalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jan - SC Estate Builder Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Juruwasa Sdn Bhd dan China National Electric Engineering Co Ltd bagi membangunkan projek 1,000 tan sisa kepada tenaga di Kota Kinabalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmennya untuk membina projek tadbir urus sosial alam sekitar.

 

Katanya, perincian mengenai projek itu dibincangkan semasa tempoh mandat MoU.

 

"Projek ini akan disiapkan berdasarkan pekerjaan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) termasuk tetapi tidak terhad kepada reka bentuk, pembuatan, penghantaran peralatan dan pemasangan, pembinaan dan pentauliahan untuk memastikan kerja dalam standard yang baik dan juga mampu beroperasi dengan cekap," katanya.

 

Kerjasama itu berkuat kuasa mulai 16 Januari 2025 dan akan kekal sah dan boleh dikuatkuasakan untuk tempoh 24 bulan melainkan ditamatkan pada atau sebelum tarikh luput.

 

Tempoh sah MoU boleh dilanjutkan untuk tempoh selanjutnya seperti yang dipersetujui secara bertulis oleh mana-mana pihak .

 

Katanya, MoU itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, gearing, modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025. - DagangNews.com