Pemotongan perbelanjaan Petronas mungkin kurang daripada jangkaan disokong perniagaan eksport gas Sarawak masih utuh, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pemotongan perbelanjaan Petronas mungkin kurang daripada jangkaan disokong perniagaan eksport gas Sarawak masih utuh, kata Kenanga Research

KUALA LUMPUR 16 Jan - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangka mengekalkan perniagaan eksport gas asli  manakala Sarawak akan mengawal pengagregatan gas domestik di negeri itu, kata Kenanga Investment.

 

Katanya, pengaturan itu menghilangkan ketidaktentuan yang timbul terhadap perbelanjaan modal huluan Petronas di Sarawak sejak Ogos 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebarang pengurangan perbelanjaan tidak akan seteruk yang dikhuatiri sebelum ini.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan Petronas tetap menjadi pemacu utama penerokaan dan pembangunan huluan di Sarawak,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Syarikat nasional itu, bagaimanapun, mungkin perlu bekerjasama dengan rakan sejawatannya di negeri itu, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), kata firma itu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Akta Pembangunan Petroleum 1974 akan kekal sebagai rangka kerja menyeluruh negara bagi tadbir urus industri minyak dan gas, berikutan pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Saham firma perkhidmatan minyak dan gas Malaysia - kebanyakannya bergantung pada perbelanjaan tahunan Petronas untuk sebahagian besar hasil mereka - meningkat pada Khamis. 

 

Dayang Enterprise Holdings Bhd meningkat 2%, manakala Keyfield International Bhd meningkat 1%. Indeks Tenaga Bursa Malaysia, yang menjejaki 31 saham dalam sektor itu, meningkat 0.8% dalam keadaan pasaran yang lebih luas.

 

Sektor itu berada di bawah tekanan kesan kebimbangan pemotongan perbelanjaan drastik oleh Petronas, berikutan kerugian perniagaan pengagregatan gas di Sarawak. 

 

Eksport gas asli cecair menyumbang kira-kira 27% daripada hasil Petronas.

 

Akta Pembangunan Petroleum menetapkan Petronas sebagai penjaga tunggal dan pengawal selia sumber petroleum Malaysia, meletakkan industri di bawah bidang kuasa persekutuan dan di atas peraturan peringkat negeri.

 

Perkembangan terbaharu adalah positif untuk penyedia perkhidmatan huluan, terutamanya pemain yang menumpukan penyelenggaraan, kerana aktiviti huluan Petronas di Sarawak berkemungkinan kekal tidak terjejas oleh perjanjian pengagregatan gas, kata Kenanga Research.

 

Syarikat itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor itu, dan yakin pada segmen perkhidmatan huluan, terutamanya Dayang dan Keyfield, dengan menyatakan, aktiviti penyelenggaraan huluan berkemungkinan merupakan yang paling awal dipertingkatkan.

 

"Dalam beberapa bulan akan datang, kami juga mungkin melihat sentimen yang bertambah baik untu syarikat seperti Velesto Energy Bhd, memandangkan Petronas mungkin meningkatkan aktiviti penggerudiannya di Sarawak," katanya. - DagangNews.com