Bekas Pengarah Urusan Adidas & Warner Music dilantik sebagai CEO Kumpulan FMCG Sedania | DagangNews Skip to main content

Bekas Pengarah Urusan Adidas & Warner Music dilantik sebagai CEO Kumpulan FMCG Sedania

Darren Choy/Gambar VCorp Capital
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jan - Sedania Innovator Berhad (Sedania) mengumumkan pelantikan Darren Choy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FMCG Sedania, berkuat kuasa 16 Januari 2025, menggantikan Ng Hock Guan yang melepaskan jawatan atas sebab komitmen peribadi.

 

Sedania berkata, pemilihan Darren dibuat berdasarkan pengalaman beliau yang luas dan rekod prestasi cemerlang menerusi jawatan eksekutif tertinggi, termasuk sebagai Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Pengarah Urusan Adidas Malaysia dan Singapura, Ketua Pegawai Pemasaran Lotus Racing F1 Team serta Pengarah Urusan EMI Music Malaysia.

 

"Pelantikan strategik ini menegaskan usaha Sedania untuk memangkin pertumbuhan dan inovasi dalam sektor FMCG lestari.

 

"Darren akan memimpin kumpulan dan memainkan peranan penting dalam fasa pertumbuhan global, yang seterusnya membina asas kukuh yang telah dibentuk di bawah pimpinan Hock Guan," kata kumpulan dalam satu kenyataan.

 

Menurut Sedania, pendekatan dinamik yang digunakan oleh Darren dalam mengubah organisasi, prestasi pasukan dan pertumbuhan menyeluruh telah membuahkan hasil luar biasa secara konsisten.

 

Antara pencapaian yang diperoleh termasuk meningkatkan keuntungan sebanyak 135 peratus dan pendapatan 155 peratus semasa berkhidmat bersama Warner Music Malaysia.

 

Jelas Sedania, Darren turut memacu Adidas Malaysia untuk mengatasi pesaing terdekatnya, Nike, dalam penjenamaan dan kepimpinan pasaran buat kali pertama.

 

"Beliau membantu mengukuhkan kedudukan EMI Music Malaysia dengan meningkatkan pegangan pasaran ke 21.5 peritus, menjadikannya sebagai peneraju industri muzik," ujarnya.

 

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Sedania, Tun Raus Md Sharif berkata, kecemerlangan rekod Darren menjadikannya sebagai pemimpin yang ideal untuk menerajui syarikat tersebut.

 

Katanya, kepakaran, semangat dan kepimpinan berwawasan Darren akan mendorong Sedania ke arah pencapaian baharu selain mengukuhkan kedudukan sebagai jenama ulung dalam sektor FMCG lestari.

 

"Kami menekankan usaha teguh terhadap pertumbuhan mampan dan inovasi," jelasnya.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor pula berkata, selain mengetuai jenama gaya hidup berskala global, rekod cemerlang Darren dalam industri muzik yang amat kompetitif, telah mengubah cita rasa pengguna selain mampu mengatasi pelbagai cabaran.

 

"Pada tahun-tahun sebelumnya, kami telah membina asas kukuh dengan memberi fokus kepada elemen daya cipta, keupayaan rantaian bekalan dan memperkukuhkan sistem operasi dalaman kami.

 

"Pencapaian ini memberi keyakinan besar kepada saya bahawa pandangan strategik dan kepakaran Darren dalam pemasaran global serta penjenamaan akan membawa kumpulan FMCG Sedania ke tahap yang baharu," katanya. - DagangNews.com