FSBM perkukuh strategi AI dan keselamatan siber melalui kerjasama dengan VisionTech, Cydentiq | DagangNews Skip to main content

FSBM perkukuh strategi AI dan keselamatan siber melalui kerjasama dengan VisionTech, Cydentiq

KUALA LUMPUR 16 Jan - Syarikat perkhidmatan IT, FSBM Holdings Bhd, melalui anak syarikatnya, FSBM I-Design Sdn Bhd, menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan VisionTech Pte Ltd (VisionTech) dan Cydentiq Sdn Bhd (Cydentiq) untuk membangunkan rumusan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber yang canggih.

 

Kerjasama dengan VisionTech, sebuah syarikat AI generatif yang berpusat di Singapura, bertujuan untuk mencipta rumusan berasaskan AI bagi meningkatkan kecekapan, menangani cabaran tenaga kerja dan memudahkan proses membuat keputusan.

 

Perkongsian dengan penyedia rumusan keselamatan siber, Cydentiq pula, menekankan pelaksanaan langkah keselamatan seperti tadbir urus identiti, pemantauan ancaman dan pematuhan industri.

 

Pengarah Eksekutif FSBM, William Ng Kok Kiong berkata, kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengembangkan tawaran dalam analitik, kecerdasan perniagaan dan AI of Things (AIoT).

 

"Pasaran keselamatan siber di Malaysia adalah sangat besar, namun jumlah pemainnya kurang. Jadi kami ingin merebut peluang yang ada.

 

"Kerajaan Malaysia sedang giat mendorong inisiatif berkaitan AI, dan ini adalah masa yang sangat sesuai, seiring dengan visi kami," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU itu, di sini hari ini seperti laporan Bernama.

 

Mengenai sasaran FSBM, Kok Kiong berkata, syarikat komited untuk mengembangkan kehadirannya di pasaran.

 

"Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih sebahagian daripada bahagian pasaran. Walaupun saya tidak dapat memberikan angka yang tepat, saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan bekerja keras untuk mengembangkan pasaran bersama dua rakan kongsi baharu kami.

 

"Melalui kerjasama dengan VisionTech dan Cydentiq, kami mahu memenuhi keperluan perniagaan yang semakin berkembang dalam penerimaan teknologi AI sambil memastikan rumusan selamat dan mematuhi piawaian etika," tambahnya. - DagangNews.com