YTL Group lancar projek perumahan lestari Brabazon Bristol di UK bernilai RM11 bilion | DagangNews Skip to main content

YTL Group lancar projek perumahan lestari Brabazon Bristol di UK bernilai RM11 bilion

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) melihat model pembangunan Brabazon Bristol bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz (kanan), Setiausaha Negara UK untuk Perniagaan dan Perdagangan Jonathan Reynolds (dua dari kiri) dan Pengerusi Eksekutif YTL Group Francis Yeoh.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jan - YTL Group melancarkan projek pembangunan bernilai RM11 bilion di utara Bristol, United Kingdom, merangkumi 6,500 unit rumah baharu berkualiti tinggi, sebuah taman seluas 6.07 hektar dan kompleks hiburan bebas karbon. 

 

Projek Brabazon Bristol itu, dibina dengan konsep 'kawasan perumahan 15 minit', diinspirasikan dari Copenhagen, membolehkan penduduk mengakses perkhidmatan asas yang mereka perlukan seperti tempat kerja, sekolah, kedai, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan ruang hijau dalam radius 15 minit dari kediaman mereka.

 

Ia menyediakan 6,500 unit rumah lestari berkualiti tinggi, tiga sekolah baharu dan sebuah taman bandar, yang terbesar di barat daya UK dalam tempoh lebih 50 tahun.

 

YTL
Gambar/YTL Developments

 

Antara elemen utama projek itu adalah YTL Arena Bristol, sebuah dewan moden dengan kapasiti 19,500 orang, ruang persidangan dan pameran yang direka untuk menjadi ruang paling lestari di Eropah. 

 

YTL Arena Bristol yang dilengkapi kemudahan bebas karbon boleh menjadi lokasi pelbagai acara dan persembahan bertaraf dunia.

 

Pembangunan Brabazon Bristol turut merangkumi ruang pejabat kreatif, makmal dan kemudahan pembuatan canggih yang dijangka menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan untuk ekonomi UK.

 

YTL merupakan pelabur terbesar Malaysia di UK dengan pelaburan pertama pada 2002 melalui pemerolehan Wessex Water. 

 

Sejak itu, YTL memperluas pelaburannya di luar sektor air dan kumbahan, memasuki sektor hospitaliti serta hartanah.

 

YTL
Gambar/YTL Developments

 

Projek berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim, sempena lawatan kerja beliau dari 14 hingga 19 Januari 2025 ke UK. 

 

Beliau dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri, Keir Starmer.

 

Anwar berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk mempromosikan integrasi ekonomi serantau, dengan kejayaan YTL sebagai contoh cemerlang kerjasama ASEAN-UK. 

 

"Pelaburan oleh perniagaan Malaysia di UK bukan hanya tentang pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mencerminkan komitmen kami untuk memupuk perkongsian yang mendorong inovasi, memajukan kemakmuran dan memberi sumbangan kepada dunia yang lebih baik untuk semua," katanya pada acara berkenaan.

 

Menteri Pelaburan UK, Poppy Gustafsson pula berkata, kerajaannya mengalu-alukan pelaburan asing yang akan membantu menghasilkan pertumbuhan jangka panjang yang stabil, menyokong pekerjaan mahir dan meningkatkan taraf hidup di seluruh negara.

 

"Komitmen YTL adalah satu pengiktirafan besar terhadap UK. Melihat pelabur global melabur berbilion pound ke dalam ekonomi UK menunjukkan bahawa kami adalah destinasi pelaburan pilihan,' ujarnya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri Dato' Francis Yeoh Sock Ping berkata, kumpulan menerusi perniagaan di UK komited untuk melabur RM21.99 bilion ke negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

YTL
Gambar/YTL Developments

 

"Brabazon Bristol adalah lokasi terbaik untuk menikmati hidup, yang menekankan keseimbangan bekerja dan bersantai di dunia hari ini. Kepakaran kami selama 70 tahun dalam membina kemudahan Malaysia akan membantu kami membangunkan projek ini.

 

"Perjanjian perdagangan dan kerjasama yang diperkukuh antara Malaysia dan UK pastinya akan merangsang perkongsian baharu dengan rangkaian pembekal kami dan mendorong pelaburan yang lebih besar antara kedua-dua negara," katanya. - DagangNews.com