Prospek SP Setia diyakini positif dipacu jualan industri kukuh, daya tahan segmen kediaman mewah - UOB Kay Hian | DagangNews Skip to main content

Prospek SP Setia diyakini positif dipacu jualan industri kukuh, daya tahan segmen kediaman mewah - UOB Kay Hian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jan - UOB Kay Hian Research optimis terhadap prospek SP Setia Bhd, didorong jualan industri yang teguh dan daya tahannya dalam segmen kediaman mewah.

 

Katanya, usaha de-gearing pemaju membuahkan hasil, disokong jualan tanah bukan teras yang ketara dalam tempoh dua tahun lalu.

 

“Dengan pelupusan ini sebahagian besarnya dimuktamadkan, kami percaya pengurusan SP Setia kini boleh memberi fokus semula pada operasi terasnya,” katanya dalam atu nota kajian.

 

Berbeza dengan jangkaan konsensus mengenai penurunan keuntungan bersih pada tahun 2025, UOB Kay Hian meramalkan SP Setia akan menghasilkan pertumbuhan pendapatan 6% tahun ke tahun, disokong oleh jualan tidak dibil sebanyak RM3.5 bilion dan hasil plot perindustrian margin lebih tinggi .

 

Mengulas lanjut mengenai inisiatif de-gearing, unit penyelidikan itu mendedahkan bahawa selepas pelupusan terbaru RM517 juta bagi petak seluas 2.42 hektar di Taman Pelangi pada Disember 2024, jualan tanah bukan teras SP Setia berjumlah RM888 juta pada 2024 daripada RM836 juta pada 2023.

 

Katanya, masih terdapat RM453 juta jualan bukan teras yang tidak diiktiraf, dengan RM296 juta, atau 65% daripada hasil jualan tanah akan diiktiraf pada suku akhir tahun kewangan 2024 (4Q24) dan baki RM157 juta menjelang separuh pertama 2025.

 

“Urus niaga sekali sahaja ini adalah penting untuk pengukuhan aliran tunai dan kunci kira-kira, dengan pendapatan jualan tanah bukan teras 2024 kira-kira RM596 juta mewakili 32% daripada aliran tunai 2023.

 

“Melangkah ke hadapan, kami tidak menjangkakan ada lagi pelupusan tanah bukan teras yang material pada 2025. Oleh itu, pengurusan akan dapat memberi tumpuan kepada memacu pertumbuhan pendapatan teras,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu melaporkan jualan belum dibil pemaju pada masa ini termasuk RM650 juta dari Taman Perindustrian Setia Alaman, sementara juga menjangkakan sekurang-kurangnya RM500 juta tambahan daripada jualan plot perindustrian Tanjung Kupang yang sangat dijangka yang akan menyumbang kepada pendapatan pada suku pertama 2025, membawa jualan plot industri terkumpul kepada RM1.2 bilion.

 

“Berdasarkan andaian margin keuntungan bersih sebanyak 33%, ini akan menyumbang kira-kira RM380 juta dalam keuntungan bersih, atau 60% daripada ramalan setahun penuh kami," katanya.

 

UOB Kay Hian menjangkakan pengumuman jualan plot industri akan dibuat seawal akhir Januari 2025.

 

Katanya, nilai pembangunan kasar (GDV) tapak perindustrian seluas 124.2 hektar, yang pada mulanya bernilai RM1.87 bilion selama tujuh tahun, kini berada pada RM3 bilion selepas dimasukkan komponen pusat data.- DagangNews.com