Tarikh tutup tawaran konsortium GDA bagi pegangan saham MAHB dilanjutkan lagi ke 24 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Tarikh tutup tawaran konsortium GDA bagi pegangan saham MAHB dilanjutkan lagi ke 24 Januari 2025

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jan - Tarikh tutup bagi penerimaan tawaran oleh konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) untuk saham yang belum dimiliki oleh pihak penawar dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dilanjutkan sehingga 24 Januari 2025, berbanding tarikh asal 17 Januari 2025.

 

Ini adalah lanjutan kedua bagi tawaran tersebut, yang sebelum ini telah dipanjangkan dari tarikh asal 8 Januari 2025 ke 17 Januari 2025.

 

AmInvestment Bank berkata, bagi pihak penawar, selain daripada lanjutan tarikh tutup baharu, semua butiran dan syarat tawaran kekal tidak berubah.

 

Setakat 15 Januari, pihak penawar bersama pihak penawar utama secara kolektif memegang 86.18% daripada saham MAHB.

 

Saham MAHB ditutup turun empat sen kepada RM10.90 dengan 1.01 juta saham diniagakan.

 

Khazanah Nasional Bhd bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan GIP Aurea Pte Ltd, membentuk satu konsortium yang dikenali sebagai GDA dan membuat tawaran untuk membawa MAHB ke dalam pemilikan persendirian pada harga RM11 sesaham. - DagangNews.com