KUALA LUMPUR 16 Jan - Sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Jepun di Malaysia bertambah baik untuk tahun keempat berturut-turut, walaupun persaingan semakin sengit, kata Tinjauan Tahun Kewangan 2024 oleh Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun Kuala Lumpur (Jetro).
Jetro berkata, kadar keuntungan Malaysia melebihi purata ASEAN, dengan jangkaan margin keuntungan operasi untuk 2024 pada 70.8%, dan negara itu menyerlah sebagai satu-satunya negara ASEAN utama yang mencatat pertumbuhan konsisten sejak empat tahun lalu.
Menurut kaji selidik itu, 48.9% daripada syarikat itu merancang untuk mempromosikan pembangunan sumber manusia dan pekerjaan tempatan dan sedang memikirkan untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam era pasca COVID-19.
Tinjauan Mengenai Keadaan Perniagaan Syarikat Jepun yang Beroperasi di Luar Negara Asia/Edisi Oceania melibatkan syarikat Jepun yang beroperasi di 20 negara dan wilayah, yang dijalankan dari 20 Ogos-18 September 2024.
“Prospek keuntungan operasi untuk 2025 menunjukkan peratusan syarikat yang menjangkakan peningkatandi semua negara berbanding 2024, dengan unjuran Malaysia menunjukkan sedikit peningkatan kepada 41.9%.
“Dalam era pasca COVID-19, Malaysia mengatasi prestasi negara utama lain dalam beberapa inisiatif termasuk pembangunan sumber manusia tempatan (58.8%), peningkatan pekerjaan (35.8%), dan promosi penyahkarbonan (24.9%),” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.
Tinjauan itu juga mendedahkan peratusan syarikat yang mempertimbangkan pengembangan perniagaan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang kekal pada 48.9%.
Lebih 70% daripada responden bimbang tentang peningkatan kos buruh, dan pusing ganti pekerja yang tinggi adalah masalah paling serius dalam kalangan negara-negara utama ASEAN.
Ia juga mendapati, kenaikan kos berkaitan inflasi akan menjejaskan pengurusan rantaian bekalan, yang membawa kepada pemindahan pengeluaran elektrik dan elektronik ke Malaysia.
Di samping itu, 83.5% syarikat menhatakan, mereka sama ada sedang mengusahakan atau merancang untuk menjalankan usaha penyahkarbonan. - DagangNews.com