KUALA LUMPUR 16 Jan - Syarikat penerbangan serantau, SKS Airways Sdn Bhd, yang baru-baru ini menukar nama kepada True Air Sdn Bhd (True Air) mengumumkan penghentian operasi, menjadi syarikat penerbangan tempatan kedua yang berbuat demikian selepas MYAirline Sdn Bhd pada 2023 akibat tekanan kewangan.
True Air menyebut beberapa faktor termasuk cabaran dalam persekitaran peraturan, kekangan operasi dan landskap penerbangan yang lebih luas sebagai sebab di sebalik keputusan itu.
Syarikat tersebut berkata, selama ini pihaknya komited menyediakan perkhidmatan perjalanan udara yang selamat dan boleh dipercayai dan sentiasa berusaha untuk memberi sumbangan bermakna kepada sektor penerbangan Malaysia.
"Bagaimanapun, perubahan keadaan dan persaingan dalam industri menyebabkan kami tidak dapat meneruskan operasi.
"Antara faktor utama dalam keputusan ini adalah kesedaran bahawa operasi ke pulau-pulau menggunakan pesawat Twin Otter tanpa bantuan kerajaan, bukanlah model perniagaan yang berjaya. Selain itu, mengendalikan syarikat penerbangan pemula juga terbukti mencabar, yang seterusnya menyumbang kepada keputusan sukar ini," jelas True Air dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan tersebut, syarikat penerbangan itu juga menyatakan komitmennya untuk melunaskan semua hutang tertunggak.
Keputusan itu diambil selepas penggantungan sijil pengendali udara (AOC) True Air selama 90 hari oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang dijangka tamat pada 21 Januari 2025.
Lesen perkhidmatan udaranya (ASL), yang dikeluarkan oleh pengawal selia penerbangan ekonomi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), tamat pada 31 Disember 2024.
Pada Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud mengesahkan bahawa penggantungan sementara itu dikeluarkan pada 22 Oktober 2024 kerana True Air tidak memenuhi syarat AOC.
Pemeriksaan di laman web CAAM menunjukkan, untuk tujuan pembaharuan AOC, armada syarikat penerbangan mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua pesawat atau helikopter untuk mengendalikan penerbangan penumpang berjadual.
Syarat berkenaan boleh dikurangkan kepada satu pesawat/helikopter untuk operasi tidak berjadual.
Syarikat penerbangan juga mesti memastikan bahawa ia mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menjalankan operasinya.
SKS Airways ditubuhkan pada November 2017 dan memulakan operasi pada Januari 2022 semasa pandemik Covid-19, dengan fokus menawarkan penerbangan ke pulau-pulau di Malaysia seperti Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Pulau Redang.
Pada Mei 2023, SKS Airways menandatangani perjanjian sewa operasi selama 12 tahun dengan syarikat penyewaan pesawat berpusat di AS, Azorra Aviation Holdings LLC, untuk 10 pesawat Embraer E195-E2 baharu.
Pesawat-pesawat baharu itu sepatutnya membantu rancangan pengembangan syarikat dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor, serta menggantikan dua pesawat Twin Otter yang uzur.
Bagaimanapun, SKS Airways menangguhkan penghantaran pesawat tersebut selepas gagal memperoleh jumlah slot pendaratan dan pelepasan di lapangan terbang berkenaan. - DagangNews.com