Akta Syarikat: Timbalan presiden kanan Aker Engineering mohon batal pertuduhan | DagangNews Skip to main content

Akta Syarikat: Timbalan presiden kanan Aker Engineering mohon batal pertuduhan

KUALA LUMPUR 17 Nov - Timbalan Presiden Kanan Kumpulan Aker Engineering Malaysia, Ahmad Hatta Kamaruzzaman, yang sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan memperdaya dan menipu, memohon pertuduhan terhadapnya mengikut Akta Syarikat dibatalkan atas alasan ia tidak berasas.

 

Turut memfailkan permohonan sama ialah Pengarah Aker Engineering Malaysia, Mohd Yusof Ab Rahman yang didakwa menggunakan dokumen palsu bagi pembaharuan lesen daripada sebuah syarikat minyak dan gas pada 2018.

 

Peguam Amer Hamzah Arshad memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa permohonan itu difailkan atas alasan pertuduhan terhadap kedua-dua anak guamnya adalah cacat dan dilakukan dengan niat jahat (mala fide).

 

Beliau berkata Ahmad Hatta tidak pernah mengelirukan Pendaftar Syarikat dengan mengemukakan pernyataan palsu manakala pendakwaan terhadapnya adalah bercanggah dengan polisi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Amer Hamzah berkata Ahmad Hatta sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memperdaya serta menipu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan namun pembelaan telah mengemukakan bantahan atas alasan ia adalah cacat dan mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada pertuduhan itu pada 25 Nov 2021.

 

"Bagaimanapun pada Februari lepas, anak guam saya didakwa dengan pertuduhan baharu di bawah Akta Syarikat 2016 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun agensi itu tiada bidang kuasa untuk menyiasat seterusnya mendakwa beliau atas kesalahan mengikut Akta Syarikat," katanya.

 

Amer Hamzah juga berkata SPRM telah menyalahgunakan kuasanya apabila mengheret Mohd Yusof ke mahkamah, Bernama melaporkan.

 

 

Aker Engineering Malaysia, Ahmad Hatta Kamaruzzaman
Ahmad Hatta Kamaruzzaman (kanan)

 

 

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How daripada SPRM pula berhujah kedua-dua kes perlu melalui proses perbicaraan bagi menentukan kebenaran selain berkata pertuduhan terhadap mereka adalah berasas.

 

"Pertuduhan itu tidak akan memprejudiskan kedua-dua tertuduh dan persoalan fakta yang dibangkitkan oleh pembelaan harus diputuskan melalui perbicaraan di Mahkamah Sesyen," katanya.

 

Muhammad Jamil kemudian menetapkan 23 Dis ini untuk keputusan. Ahmad Hatta, 51, kini berdepan pertuduhan mengelirukan Pendaftar Syarikat dengan satu pernyataan palsu berkenaan butir material di dalam Annual Return of Company Having Share Capital Aker Engineering Malaysia Sdn Bhd bertarikh 19 Mei 2017 iaitu dokumen yang dikehendaki diserah simpan kepada Pendaftar Syarikat menurut peruntukan Seksyen 68 Akta Syarikat 2016.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada Jun 2017 di Menara SSM @ Sentral, No 7 Jalan Stesen Sentral 5 di sini mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM3 juta jika sabit kesalahan.

 

Mohd Yusof, 55, pula didakwa menggunakan dokumen palsu sama melalui pekerja Aker Engineering, Wan Suet Yin, yang dilampirkan sebagai dokumen sokongan  untuk menyatakan tertuduh bukan pemegang amanah bagi pegangan saham dalam syarikat Aker Engineering bagi permohonan pembaharuan lesen Standardised Work & Equipment Categories (SWEC)  melalui Enterprise Buyer Portal sedangkan dia adalah pemegang amanah syarikat tersebut untuk pegangan saham berkenaan.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara Berkembar Petronas pada 26 April 2018 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - DagangNews.com