KUALA NERUS 2 Jun - Matapelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seringkali dianggap sukar dan membosankan.
Namun, persepsi negatif itu berjaya ditepis pelajar sebaik sahaja mereka mengunjungi reruai Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) yang memaparkan pembelajaran STEM dengan penyampaian lebih menarik dan interaktif.
Seorang pelajar, Qaseh Nur Zulaikha Nasrul, 13, berkata beliau datang ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) bersama guru dan rakan-rakan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai di Marang untuk melihat pameran robotik dan sains yang disediakan.
"Cikgu beritahu kami untuk jawab soalan kuiz, tengok inovasi yang dihasilkan pelajar sekolah-sekolah lain kerana banyak ciptaan mereka telah memenangi pertandingan hingga peringkat dunia.
"Kadang-kadang memang saya rasa sains ni susah, tapi bila tengok pameran, demonstrasi sains dan permainan uji minda seperti 'portal glass', 'square puzzle', 'soma cube' dan hologram tadi, makin saya rasa minat dan seronok untuk mempelajari STEM dengan bersungguh-sungguh selepas ini," katanya.
Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu, Mohamad Afif Muzammil Kamarul Zaman Omar, 19, pula berkata beliau teruja mendaftarkan diri sebagai peserta Malaysia Techlympics, iaitu satu program anjuran MOSTI yang diperkenalkan di Zon Timur sempena Jelajah AKM edisi keempat di Terengganu hari ini.
"Sebagai pelajar Asasi STEM, memang kami sentiasa digalakkan untuk menghasilkan sesuatu produk inovasi yang bermanfaat untuk kegunaan masyarakat dan saya lihat Malaysia Techlympics ini adalah platform tepat untuk mempamerkan bakat dalam pertandingan yang dianjurkan.
"Saya difahamkan, peserta yang menghasilkan prototaip menarik akan mendapat peluang dari MOSTI untuk mengkomersialkannya di pasaran. Pastinya ini peluang menarik untuk pelajar universiti menonjolkan bakat yang ada," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Rohaliza Ramli, 36 pula berkata beliau datang ke Jelajah AKM untuk memberi pendedahan kepada dua anaknya mengenai dunia sains dan teknologi supaya dapat menambah minat mereka terhadap dua mata pelajaran itu.
"Di sini, kita boleh tunjukkan kepada anak-anak bahawa sains itu adalah 'magic' kerana banyak masalah boleh diatasi melalui penciptaan pelbagai produk berdasarkan prinsip sains dan teknologi.
"Walaupun anak masih kecil, saya optimis mereka mampu memahaminya kerana pendedahan dari awal dapat mempengaruhi kecenderungan mereka terhadap STEM apabila menyambung pelajaran ke sekolah menengah nanti," katanya.
Bertemakan 'Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi', pelbagai acara menarik diadakan oleh agensi di bawah MOSTI sepanjang Jelajah AKM berlangsung antaranya demonstrasi sains udara, demonstrasi 'Model Mars Rover - Mari Boh Gi Marikh', persembahan dron mini dan demonstrasi sains & STEM. - DagangNews.com